SEREMBAN - Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagaikan tiada makna buat keluarga wanita mangsa keganasan rumah tangga Jahidah Nordin, 43, yang kini hanya terbaring kaku di rumah.
Menurut adik mangsa, Fauziah Nordin, 40, biasanya adik-beradik akan berkumpul di rumah bapa mereka di Sabah namun tahun ini masing-masing akan datang ke rumahnya di Sendayan di sini.
"Aidilfitri tahun lalu kakak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), tahun ini kakak hanya terbaring saja di rumah.
"Raya kali ini disambut sederhana sahaja, tak pergi ke mana-mana kerana perlu menjaga kakak. Adik-beradik lain serta saudara-mara pula yang datang menziarahi kakak di rumah saya," katanya kepada Sinar Harian.
Fauziah berkata, adik-beradiknya sangat merindui Jahidah yang disifatkan seorang kakak yang baik dan suka memberi hadiah kepada anak saudara setiap kali pulang menyambut hari raya di Sabah.
Katanya, biasanya masakan paling dinanti keluarga ketika Aidilfitri ialah soto Sabah yang dimasak Jahidah.
"Tapi sekarang raya kami dah tak macam dulu. Kalau dulu sebelum raya mesti kami dah berpakat nak pakai baju warna apa dan merancang itu ini.
"Tapi 'mood' beraya itu dah kurang. Saya hanya fikir nak jaga kakak dan anaknya J Eshan Nufail," katanya
Malah melihat keadaan Jahidah, ahli keluarganya merasakan agak mustahil untuk mereka beraya seperti dahulu.
Bagaimanapun katanya, tidak pernah putus harapan untuk melihat Jahidah sembuh atau sekurang-kurangnya dia boleh bercakap semula.
"Harapan kami sekeluarga supaya kakak boleh sihat semula. Kami tak pernah putus berdoa walaupun sekarang dah boleh terima keadaan dia,"katanya.
Mengenai keadaan Jahidah, Fauziah berkata, doktor memberitahu peluang untuknya sembuh adalah rendah lebih-lebih lagi dengan keadaan otaknya yang rosak teruk.
"Doktor juga tidak pasti sama ada kakak (Jahidah) boleh melihat atau tidak.
"Sekarang ini apa yang saya risaukan ialah perut kakak yang semakin membesar dan tidak tahu puncanya. Namun berat badannya bertambah dan mukanya berseri-seri," katanya.
Tambahnya, keluarga bercadang membawa Jahidah mendapatkan rawatan tradisional selepas Aidilfitri.
Mengenai keadaan J Eshan Nufail pula, Fauziah memberitahu anak buahnya itu kini sudah berusia lima bulan dan semakin bijak.
"Alhamdulillah dia sihat dan sudah boleh berborak. Apabila melihat wajah ibunya, dia akan pandang sahaja seolah-olah tahu yang ibunya sakit,” kata Fauziah.
Jahidah selamat melahirkan bayi lelakinya itu secara pembedahan pada 30 November 2021.
Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.