SHAH ALAM - Dua remaja ditemui dalam keadaan kepenatan setelah dipercayai hilang dalam kejadian di Bukit Taipan, Kota Anggerik di sini semalam.
Kedua-dua remaja berusia lingkungan 19 tahun itu dipercayai beriadah di kawasan bukit berkenaan sebelum tersesat dan tidak menemui jalan pulang.
Ketua Balai Bomba Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bonny Martin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 7.25 petang.
"Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 7.48 petang.
"Pada awalnya usaha menyelamat agak sukar kerana lokasi mangsa gagal dikesan. Keadaan pulih apabila mangsa menghantar lokasi melalui aplikasi WhatsApp kepada pasukan penyelamat," katanya.
Katanya, pihak bomba kemudiannya melakukan pendakian untuk menyelamat mangsa.
"Mangsa berjaya ditemui dalam perjalanan yang memakan masa hampir 45 minit.
"Kedua-duanya dalam keadaan baik ketika ditemui namun sedikit kepenatan dan tidak cedera," katanya.