PUTRAJAYA - Seorang wanita dan anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Persiaran Timur dari Kajang menghala ke Pinggiran Putra, di sini pada Sabtu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Amalina Azman, 32, dan Dzul Qarnain Mohd Iqbal berusia dua tahun dua bulan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian pada jam 2.45 petang itu pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang merupakan suami mangsa disyaki mengantuk.
"Kereta itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang di bahu kiri jalan sebelum terbabas.
"Kemalangan tersebut mengakibatkan wanita itu parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya manakala anaknya maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami kecederaan.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.