PAPAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak berkompromi dengan isu keselamatan membabitkan pelajar.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, lima jambatan gantung dikenal pasti musnah akibat banjir di Nabawan mengakibatkan murid dari empat sekolah di kawasan berkenaan terjejas.
Menurut beliau, kerajaan bersetuju membekalkan bot lima kuasa kuda (hp) untuk mengangkut penduduk kampung termasuk pelajar kerana tidak pasti tempoh jambatan jambatan gantung siap.
"KPM sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menguruskan pembekalan jaket keselamatan kepada semua penumpang bot," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat di Kimanis, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan sebanyak empat sekolah terjejas akibat lima jambatan gantung rosak teruk.
Sehubungan itu, beliau akan membuat semakan jika sekolah terbabit memerlukan khidmat bot berkenaan.
"Kita akan bekalkan kepada SK Nangkawangan tetapi saya juga akan semak sekiranya SK Binanon, SK Mamagon dan SK Pohon Batu memerlukan khidmat bot dan jaket keselamatan di empat sekolah terbabit," katanya.
Mohamad juga memberitahu, pihaknya akan memantau keadaan berkenaan dan bekerjasama dengan agensi yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan.
Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan kira-kira 50 murid dari dua sekolah di Nabawan terpaksa bergadai nyawa dengan menaiki rakit dan 'zip line' untuk ke sekolah berikutan jambatan gantung yang menjadi penghubung utama sekolah berkenaan terputus akibat banjir.