SURATMAN Markasan menghadiahkan saya sebuah kumpulan puisi terbarunya Saya Bukan Malaikat (2022). Kehadiran buku itu mengingatkan saya semasa berkhidmat selama sedekad di Universiti Nanyang Singapura iaitu dari tahun 2000 hingga 2010.
Suratman Markasan adalah antara pengarang yang sangat rapat dengan saya selain Basuki Sukaini, Azhar Ibrahim, Mohammad Latif Mohammad, Djamal Tukimin dan Nadi Putera.
Bagaimanapun, Masuri S.N. adalah sasterawan pertama saya temui dengan menjemputnya sebagai hakim dan penyampai hadiah pertandingan penulisan puisi.
Sering solat Jumaat bersamanya di Masjid Khalid dan kemudian makan nasi beriani. Sebagai penyair idola, Masuri S.N. menjulang nama Singapura.
Perpisahan dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965 bagaikan pisau yang memutuskan jantung sejarah. Selama ini penulis Singapura adalah setaman dan sesejarah dengan perjalanan saudara-saudaranya di semenanjung, tetapi perpisahan itu bererti mereka harus berdikari.
Saat ini mereka masih berasa pilu apabila komuniti Melayu menjadi golongan minoriti di tanah air mereka.
Namun, situasi tersebut sedikit pun tidak mematahkan jiwa orang-orang Melayu, seperti Asas 50.
Beliau terus berjuang, mencari jalan untuk menghidupkan sejarah yang hampir mati itu.
Sejak 1965 sehingga kini, lahir pelbagai grup penulis muda dan penggiat sastera yang bergerak secara formal, berdaftar dan tidak formal mewarnai dunia sastera di Singapura.
Selepas generasi perintis Asas 50 seperti Muhd Ariff Ahmad, Masuri S.N, Noor S.I. dan Suratman Markasan, muncul jalur kedua dengan Djamal Tukimin, Noor Hidayat, Yatiman Yusof, Mohammad Latif Mohammad, Nadiputra, Suraidi Sipan, Mohd Naim Daipi, Iswardi, Nurul-Ain Kudsi dan Hadijah Rahmat. Jalur mutakhirnya ialah A.Ghani Hamid, Rasiah Halil, Isa Kamari, Abdul Khalid Lani, Ahmad Mohd Tahir, Adlin Mosbit, Saeda Saad dan Alfian Saat.
PERUBAHAN BESAR
Mereka menyaksikan perubahan besar berlaku terhadap kedudukan, ekonomi dan politik Melayu. Nada pilu dan hiba bercampur dengan sikap pengarang, serta pemikiran rasional menghadapi zaman baharu itu.
Puisi telah digunakan sebagai wahana yang memperlihatkan penentangan terhadap dasar kerajaan, antaranya Yusman Abdul Majid denganSoneta Anak Buangan dan Rohman Munasip dengan Keroncong Penyair; mereka tidak berpuas hati melihat masyarakat Melayu ditindas dan hak mereka sebagai watan Singapura dirampas.
Mereka masih mengekalkan gaya dan teknik yang sudah baku. Pada masa sama, muncul penyair wanita seperti Sharifah Yatiman, Norul-Ain Hj Kudsi, Rasiah Halil dan Norulashikin Jamain. Noridah Kamari dan Noor Hasnah Adam dengan gaya berpuisi yang lebih estetik, lembut tetapi bertenaga.
Cerpen merupakan genre kedua yang banyak ditulis oleh penulis Singapura. Akhbar Berita Harian dan Berita Minggu menjadi wahana penting untuk berkarya. Cerpenis awalnya ialah Dora, Jymy Asmara, Keris Mas, Suratman Markasan, Masuri S.N., Mas dan Suradi Parjo.
Golongan kedua pula termasuklah Anuar Othman, Peter Augustine Goh, Ahmad Afandi Jamari, A. Wahab Haji Hamzah dan Iswardi.
Suatu perkembangan yang menarik dalam penulisan cerpen mutakhir Singapura, munculnya kumpulan Penulis Angkatan Baru, berpendidikan sastera secara formal dan mempunyai pandangan yang berbeza.
Mereka termasuklah Mohd Rafi Abu Bakar, Noor Hasnah Adam, Ishak Abd.Latiff, Djohan Abdul Rahman, Saeda Buang, Mazlee Miuharram dan Hafidah Mahat.
Noor Hasnah Adam misalnya menghasilkan teks-teks metafiksyen dan metahistoriografik dengan menggunakan semula unsur-unsur sejarah yang bersifat idealistik tentang budaya Singapura terkini.
Antara teksnya ialah Anak Harimau, Naluri, Kota Impian dan Suara Hati. Anak Harimau membawa kisah Hang Nadim yang dihukum bunuh oleh raja, sedangkan dia telah berjasa kepada raja dan rakyat jelata. Hang Nadim telah berjaya menyelamatkan Singapura daripada serangan todak.
NOVELIS
Dalam genre novel pula tidak banyak dihasilkan. Antaranya Mail Mau Kawin karya Muhammad Ariff Ahmad (1976), Delima Merah Di Jari Manis karya Abdul Ghani Hamid (1977), Pondok Kecil Di Tepi Kubur, Kehilangan di Bukit Naga dan Terlepas di Lorong Seruling Bambu ketiga-tiganya karya Peter Augustine Goh (1978), dan Tumpas karya Mohamed Naim Daipi (1979).
Peter Augustine Goh menunjukkan prolifiknya Kembara Belum Berakhir, Kotak Merah Jambu Air, Kucing Mata Merah (1981) dan Karang di Tengah Segara (1987).
Tiga buah novel besar Singapura ialah Di Bumi Mana (1997) dan Penghulu yang Hilang Segala-galanya (1998) karya Suratman Markasan dan Batas Langit (1997) karya Mohammad Latif Mohammad.
Novelis generasi baharunya ialah Isa Kamari dengan Satu Bumi (2001), Menara, Kiswah dan Tawassul (2002), Atas Nama Cinta (2006), Memeluk Gerhana (2007) dan Menara (2010).
Novel kanonnya ialah Kiswah, melukis sebuah penerokaan berani ke alam seksualiti dan pertaliannya dengan kesedaran agama.
Sebuah teks intertekstualiti yang halus yang disajikan begitu teliti. Novel ini telah menggegarkan dunia kesusasteraan Melayu Singapura.
Suratman Markasan diterima sebagai tokoh unggulnya. Saya Bukan Malaikat adalah sinambungan kumpulan puisi agung Kembali ke Akar Melayu Kembali ke Akar Islam (2012) koleksi 785 buah sajak.
Saya menulis kata pengantarnya dengan pelbagai teori sastera.
Selama sedekad di Singapura, saya terlibat sebagai ahli panel Hadiah Persuratan Singapura, sama taraf dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Saya pernah dilantik sebagai ketua panel, panel Singapore Literature Awards dan panel Anugerah Tun Sri Lanang yang setaraf Anugerah Sastera Negara Malaysia.
Saya sempat menghasilkan 20 buah buku kajian dan teks kreatif. Antaranya adalah Pemikiran Sastera Singapura (2003), Teori Sastera Kontemporari (2004) dan Kritikan Sastera Melayu Moden (2006) masih menjadi buku teks di kolej serta universiti Singapura.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia