Warga emas hilang mata pencarian harap sinar baharu

Iklan
Abdul Rashid (kiri) ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada Othman di rumahnya di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas hilang mata pencarian selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya empat tahun lalu sehingga mengakibatkannya tidak lagi boleh berjalan seperti biasa.

Kemalangan itu menyebabkan Othman Mail, 64, yang tinggal di Taman Johor Jaya di sini patah dan retak di bahagian pinggul.

Iklan
Iklan

Othman berkata, dia perlu menggunakan alat bantuan dan kini menghabiskan sisa-sisa hidupnya di rumah dengan bergantung bantuan daripada anak-anak.

Dia yang pernah bekerja sebagai pekerja penyelenggaraan selama 36 tahun di sebuah kilang di Bakar Batu di sini mendakwa mengalami kesukaran membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan daripada syarikat perlindungan keselamatan pekerja.

Iklan

"Saya tidak ada pendapatan langsung, pernah mohon tapi tidak dapat bantuan dan pihak itu memberitahu harapan saya untuk dapat adalah tipis.

"Saya tidak diberitahu secara terperinci, mereka suruh saya mohon semula...dengan keadaan saya begini (tidak boleh berjalan), bagaimana saya hendak buat permohonan lagi.

Iklan

"Saya juga ada mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi pun tidak dapat," katanya selepas menerima sumbangan Aidilfitri daripada sebuah syarikat stesen minyak di Taman Johor Jaya pada Sabtu.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, lebih menyedihkan isterinya, Soyah Mahad, 70, meninggal dunia pada bulan lalu.

Justeru, dia mengharapkan agar nasib hidupnya lebih baik sempena kedatangan Aidilfitri sekali gus permohonannya untuk mendapat bantuan dipermudahkan kerana tidak mahu bergantung kepada anak-anak.

Sementara itu, Penyelia Stesen Minyak BHPetrol Taman Johor Jaya, Abdul Rashid Hamzah berkata, Othman merupakan antara 22 asnaf yang menerima sumbangan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.