'Tiada lagi pakaian sedondon buat kami sekeluarga'

Iklan
Abd Razak (dua dari kanan) bersama anaknya dikunjungi wakil Pasar Raya Econsave dan Al-Qalam Malaysia di rumah ibu mentuanya di Seksyen 17 di sini pada Rabu.

SHAH ALAM -"Jiwa saya kosong untuk menyambut Aidilfitri tanpa isteri dan lapan anak yang tiada di sisi," demikian luah suami kepada mangsa kemalangan maut, Norul Naziah Buyong, yang meninggal dunia bersama lapan anak mereka dalam nahas jalan raya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala ke Shah Alam, pada 17 Disember lalu.

Abd Razak Majit, 51, berkata sambutan lebaran yang bakal kunjung tiba ini tidak membawa sebarang erti terhadap dirinya.

Iklan
Iklan

"Arwah isteri merupakan seorang yang amat mementingkan persiapan Aidilfitri, arwah akan menentukan tema warna pakaian yang kami sekeluarga akan pakai setiap kali raya.

"Namun kali ini, pastinya cukup berbeza, tiada lagi insan tersayang di sisi yang akan memakai pakaian sedondon bersama," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Seksyen 17 di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, setiap kali solat, dia sentiasa memohon agar sentiasa diberikan kekuatan untuk menempuh hari mendatang.

"Sukar nak digambarkan perasaan saya, masih terngiang gelak tawa isteri dan anak, tambahan isteri saya seorang yang ceria dan rapat dengan anak-anak, setiap kali saya pulang ke rumah, jiwa saya luluh kerana terbayangkan mereka.

Iklan

"Jiwa dan tubuh terasa kosong, hanya kepada ALLAH saya memanjatkan doa agar diri saya ini diberi kekuatan untuk mengharungi semua ujian ini," katanya.

Tambahnya, tiada apa lagi yang dapat dilakukan selain memohon kepada ALLAH setiap kali solat agar diberikan ketenangan menghadapi situasi itu.

"Saya akui kadangkala hati kecil saya seolah mempertikaikan semua yang berlaku, namun Alhamdulillah keluarga tidak putus-putus memberikan semangat agar saya tabah.

"Apa pun yang terjadi, saya sedar, pemergian isteri dan lapan anak tercinta harus saya redai, mereka semua adalah milik ALLAH," katanya.

Mengimbas kembali tragedi itu, Abd Razak berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jawa, Klang selepas menghadiri majlis kenduri keluarga di Melaka.

Laporan Sinar Harian mengenai kejadian kemalangan yang mengorbankan nyawa isteri Abd Razak dan lapan anaknya pada 17 Disember tahun lalu.

"Saya memandu ketika kejadian sebelum kereta kami naiki berhenti di tepi lebuh raya kerana mengalami kerosakan sebelum dirempuh sebuah treler.

"Kejadian itu berlaku sekelip mata, saya tidak sempat berbuat apa-apa, hanya anak ketiga kami iaitu Haikal Faiz bersama saya yang terselamat," katanya.

Ujar Abd Razak, biarpun hampir lima bulan isteri serta lapan anaknya meninggalkan dia dan Haikal Faiz, kenangan mereka sekeluarga tidak pernah sesekali luput daripada ingatan.

"Saya hanya membawa bersama kenangan terindah antara isteri dan lapan anak saya yang lain, itu sahaja yang saya miliki," katanya.

Terdahulu, Abd Razak dan Haikal Faiz dikunjungi rombongan Pasar Raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) diketuai Pengurus Operasi, Lim Yoke Foong.

Turut hadir menziarahi serta menyampaikan sumbangan adalah Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam) Malaysia diketuai presidennya, Datuk Seri Dr Baharudin Abu.

Pada 17 Disember lalu, 10 mangsa dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam.

Mangsa maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing seorang lelaki serta wanita dewasa.

Antara yang maut adalah Norul Naziah Buyong, 37, maut bersama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17, Razatul Aliah, 16, Puteri Hidayah, 12, Muhamad Aizat Syazwan, 10,Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Puteri Nur Ain Syalwana, 3 dan Muhammad Raid Fathi yang berumur 10 bulan.

Turut terkorban ialah mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, manakala Abd Razak pula cedera di kaki kanan.