STOCKHOLM - Pemimpin parti sayap kanan Denmark Stram Kurs (Hard Line) mendakwa beliau membakar senaskhah lagi salinan Al-Quran pada Sabtu.
Di media sosial, Rasmus Paludan mengumumkan beliau membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan Masjid Raslatt di bandar Jönkoping di selatan Sweden meskipun polis Sweden tidak membenarkannya.
Polis Sweden menolak permohonan Paludan untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan demonstrasi membakar kitab suci umat Islam itu pada 1 Mei, bertepatan dengan sambutan Hari Buruh Sedunia di seluruh Sweden, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, sekumpulan penduduk di Malmo memprotes provokasi Paludan yang membakar Al-Quran di pelbagai bandar Sweden semasa cuti Paskah.
Menangani penunjuk perasaan, ahli politik kelahiran Turki Mikail Yuksel, yang mengasaskan Parti Different Colours (Nyan) di Sweden, menggesa provokasi Paludan dihentikan.
Minggu lalu, kira-kira 500 orang menghadiri bantahan yang dianjurkan oleh Nyan di hadapan parlimen negara itu di ibu negara Stockholm.
Penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis"Hentikan pembakaran Al-Quran" dan"Berhenti menghina umat Islam".
Pada 14 April, Paludan membakar satu salinan kitab suci umat Islam di bandar Linkoping, selatan Sweden. Beliau juga mengancam untuk membakar naskhah kitab suci itu semasa perhimpunan berikutnya.
Awal bulan ini, Kementerian Luar Turki mengecam tindakan itu dan menyifatkan ia sebagai provokasi terhadap Islam. - Bernama