SHAH ALAM - Aliran trafik menuju ke utara di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bergerak perlahan sejauh kira-kira 80 kilometer (km) di beberapa lokasi setakat jam 3.16 petang pada Ahad kerana pertambahan kenderaan dan beberapa insiden kemalangan susulan orang ramai pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Trafik, aliran trafik perlahan itu bermula dari Bukit Beruntung ke Lembah Beringin dengan jarak sejauh 13km diikuti Sungkai ke Bidor (19km), Tapah ke Gopeng (16km) dan Ipoh (S) dan Ipoh (U) (3.4km).
Aliran trafik perlahan turut dikesan dari Ipoh (U) ke Sungai Perak dengan jarak sepanjang 11km diikuti Alor Pongsu ke Jawi dan Sungai Bakap (9km) serta Simpang Ampat ke Juru (4km).
Sementara itu, kesesakan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) setakat 3.27 petang tadi juga didapati terus berlaku di beberapa lokasi dengan jarak keseluruhan sejauh lebih 38.5km.
Ia membabitkan laluan arah Timur dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) hingga ke Plaza Tol Gombak terus Bukit Tinggi dan Genting Sempah serta Bukit Tinggi hingga Bentong.
Bagaimanapun, aliran trafik Lebuhraya Pantai Timur 1 masih bergerak lancar di kedua-dua hala.
Sementara itu arah selatan, aliran trafik bergerak perlahan setakat jam 3.19 petang tadi di beberapa lokasi antaranya di Nilai ke RNR Seremban ke Senawang dan ke Pedas Linggi serta Simpang Ampat ke Ayer Keroh.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik