KOTA BHARU - Empat kawasan blackspot kerap berlaku kemalangan maut dikenal pasti di Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lokasi tersebut adalah Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa, Jalan Salor Baru-Pasir Mas dan Jalan Binjai-Bachok.
"Kita akan memberi penekanan kepada beberapa kesalahan sering dilakukan seperti memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat dan menggunakan lorong kecemasan kerana ia adalah kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah.
"Anggota polis sentiasa membuat pemantauan di lokasi berkenaan agar pengguna sentiasa mematuhi peraturan,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Op Selamat 18, Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dekat Tunjong, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Rosdi memberitahu, sejak Op Selamat 18 dilancarkan pada 29 April, sebanyak 35 kes kemalangan berlaku di jajahan itu dengan merekodkan dua kematian setakat ini.
Selain itu, dalam perkembangan lain, Mohd Rosdi berkata, pegawai dan anggota polis yang bertugas akan ditempatkan di semua lokasi lampu isyarat sekitar Kota Bharu bagi mengelakkan berlaku kesesakan lalu lintas sempena sambutan Aidilfitri tahun ini."Kita jangkakan ada pertambahan kenderaan menjelang perayaan Aidilfitri. Oleh itu, kita juga bersetuju supaya lampu isyarat di beberapa lokasi kekal menggunakan warna kuning supaya aliran trafik lancar," katanya.
Mengulas mengenai penggunaan laluan alternatif, Mohd Rosdi berkata, tindakan itu hanya akan dibincangkan sekiranya berlaku kesesakan luar biasa yang mana pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar perkara itu dapat diatasi. - Bernama