SHAH ALAM - Kadar upah atau gaji minimum kepada golongan profesional wajar dikaji semula terutamanya melibatkan pekerja siswazah seperti jurutera, peguam, akauntan dan sebagainya.
Exco Pekerjaan dan Modal Insan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Mohd Akmal M Yusoff berkata, perhatian serius harus diberikan oleh kerajaan agar kenaikan tahap gaji minimum ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh pekerja terutama dalam kalangan B40 meskipun inisiatif gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan baru-baru ini disambut dengan baik oleh golongan pekerja.
"Isu kenaikan harga barangan asas kini yang masih belum berkesudahan tidak akan membantu pekerja walaupun kadar gaji minimum baharu ditetapkan.
"Masakan isu ‘jurutera miskin’ masih boleh menjadi tajuk utama akhbar selepas negara mencapai kemajuan yang pesat dalam pelbagai bidang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata, Pejuang Muda menyandarkan harapan penuh agar lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan bagi mengurangkan isu ketidakpadanan pekerjaan.
"Lambakan graduan universiti dan kolej dari pelbagai bidang ditambah dengan penutupan perusahaan besar dek pandemik dilihat akan menjadi lebih parah jika kerajaan tidak mengambil tindakan tuntas.
"Dalam peralihan ke fasa endemik, isu jaminan pekerjaan atau ‘job security’ dilihat lebih serius di mana pekerja terpaksa melakukan lebih dari yang sepatutnya tanpa bayaran tambahan setimpal semata-mata untuk mengelakkan daripada dipecat.
"Ini memberi lebih tekanan kepada pekerja yang pasti memberikan impak negatif kepada produktiviti pekerja dan perusahaan secara umum," ujarnya.
Menurutnya, isu ketidakadilan kepada pekerja seperti pemecatan tanpa sebab, gaji tidak berbayar dan sebagainya harus dilihat dengan lebih serius oleh pihak kerajaan.
"Kewujudan akta tertentu yang melindungi hak pekerja tidak memberi makna apa-apa tanpa penguatkuasaan yang berkesan," jelasnya.
Tambahnya, perhatian harus diberikan kepada kes di mana pekerja tidak dapat mempertahankan hak mereka semata-mata dan majikan pula terlepas daripada tindakan penguatkuasaan disebabkan kemampuan mereka mengupah peguambela yang lebih baik.
"Pejuang Muda berharap agar hari buruh tahun 2022 yang kebetulan jatuh dekat dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, dapat disambut dengan penuh kesyukuran pada masa yang sama dengan iktikad untuk sama-sama menjadi lebih baik dan produktif demi kemajuan bangsa dan negara baik dari pihak pekerja mahupun majikan," katanya.