Dua tahun dugaan Covid-19, rakyat bukti keutuhan: PM

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama jemaah menteri melaungkan takbir raya bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya. 

- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia telah membuktikan kekuatan dan keutuhan masing-masing dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 selama dua tahun ini sehingga dapat merasai kembali kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, solidariti Keluarga Malaysia dalam mendepani cabaran dan dugaan itu menjadi teras untuk kerajaan memberi fokus terhadap usaha memacu pemulihan negara supaya rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui pelbagai strategi yang dirangka.

Iklan
Iklan

Dalam perutusan Aidilfitri, Perdana Menteri berkata, Malaysia bertuah kerana masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama Keluarga Malaysia.

Menurutnya, ini meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius antaranya membabitkan konflik antara Rusia dan Ukraine serta Palestin dengan Israel.

Iklan

"Konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

"Bayangkan, tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, saudara-saudara kita di negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Afghanistan dan Libya, menyambut Syawal dengan menyeka air mata,” katanya dalam perutusan yang disiarkan di stesen-stesen televisyen malam Ahad.

Iklan

Ismail Sabri berkata, keamanan amat penting dan ia hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga biarpun berbeza ras, budaya dan kepercayaan.

Justeru, beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar berpegang kepada konsep tasamuh iaitu ajaran Islam yang menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan selaras konsep Keluarga Malaysia.

Katanya, tasamuh adalah salah satu bentuk akhlak terpuji dan amat diperlukan dalam kehidupan seharian terutama dalam bermasyarakat kerana dengan tasamuh, seseorang akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas yang digariskan oleh agama Islam.

"Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap tasamuh (toleransi) dalam bermasyarakat.

Ia boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam memastikan Keluarga Malaysia bukan sekadar ‘tagline’ semata-mata, tetapi mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menasihatkan rakyat mengambil peluang dan memanfaatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang bermula Ahad untuk menyantuni ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturahim.

Beliau berkata, dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, orang ramai diingatkan untuk terus mengamalkan kawalan kendiri demi keselamatan diri dan keluarga tercinta, walaupun banyak kelonggaran telah diberikan.

"Luangkan masa mengunjungi rumah terbuka dan menziarahi pusara. Bagi anda yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah dengan penuh cermat dan berhemah agar sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya.

Perdana Menteri dan keluarga turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat yang beragama Islam.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Isnin.