BERITA baik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membenarkan aktiviti berkaitan sambutan Aidilfitri nyata menggembirakan semua pihak.Kini kita boleh kembali ‘menikmati’ suasana berhari raya termasuk bersalaman, takbir raya dan rumah terbuka.
Namun, bagi individu yang disahkan positif Covid-19 dan bergejala janganlah sibuk beraya juga. Anda wajib kuarantinkan diri terlebih dahulu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, salam tangan adalah dibenarkan dengan mematuhi etika dan penjagaan kebersihan tangan.
Menurut beliau, protokol berkaitan sambutan hari raya itu adalah bagi memastikan Keluarga Malaysia menyambut Aidilfitri dalam keadaan yang meriah dan selamat.
"Sentiasa mencuci atau membersihkan tangan. Jangan sentuh muka selepas bersalaman,” katanya.
Mencuci tangan cara betul adalah cara terbaik untuk mengawal dan mengurangkan penyebaran penyakit kerana tangan pengantara utama kuman disebarkan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat digalakkan untuk terus berhati-hati kerana virus Covid-19 masih wujud di sekeliling kita.
Ismail Sabri berkata, walaupun kelonggaran telah diberikan tetapi kebebasan itu tidak bermakna rakyat tidak lagi perlu melakukan kawalan kendiri bagi melindungi keluarga, diri sendiri dan masyarakat.
"Walaupun bebas di kawasan terbuka tapi jika berada di kawasan sesak, saya galakkan pemakaian pelitup muka bagi menjaga kepentingan diri dan keselamatan,” katanya.
Jika mahu menziarahi orang tua yang tidak sihat, anda disarankan untuk membuat ujian kendiri untuk Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman.
Meskipun Covid-19 tidak berbahaya seperti dahulu, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Bagi pengguna jalan raya pula, mereka perlu merancang perjalanan dan pastikan membawa barangan yang diperlukan seperti makanan, ubat-ubatan dan kit keselamatan untuk berdepan kesesakan lalu lintas yang lama di jalan raya.
Satu perkara lagi perlu diingatkan adalah perlu memastikan keselamatan rumah apabila hendak pulang ke kampung halaman.
Pastikan semua pintu berkunci dan padamkan suis perkakasan elektrik serta tutup paip air sebelum meninggalkan rumah.
Jangan biarkan injap gas terbuka untuk mengelak berlakunya kebocoran dan kebakaran. Seeloknya cabut kepala tong gas.
Selain itu, anda juga perlu memaklumkan kepada polis dan jiran tentang ketidakberadaan seisi keluarga di rumah bagi memastikan keselamatan kediaman anda dipantau ketika berada di kampung.
Jika kediaman anda dilengkapi fungsi kamera litar tertutup (CCTV), pastikan ia berfungsi dengan baik sebelum melangkah keluar dari rumah.
Bilangan kenderaan tahun ini diramal lebih banyak berbanding sebelumnya disebabkan keterujaan warga kota menyambut hari raya di kampung setelah dua tahun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Peningkatan jumlah kenderaan mencetuskan kegusaran khususnya kepada pihak berkuasa kerana kemungkinan berlakunya peningkatan jumlah kemalangan maut jika pengguna jalan raya tidak berhati-hati ketika memandu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan sehingga 4.7 juta kenderaan akan berada di jalan raya di seluruh negara di sepanjang perayaan Aidilfitri ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, kenderaan-kenderaan itu dijangka mula bergerak secara berperingkat bermula Jumaat.
Mat Kasim turut meminta pengguna jalan raya agar lebih bertolak ansur ketika memandu pulang ke kampung..
"Kami menasihatkan pengguna supaya berhati-hati semasa memandu di jalan raya agar dapat pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman,” katanya.
Pengguna jalan raya perlu mengubah sikap untuk menjadi pemandu yang berhemah, bertolak ansur dan menghormati orang lain ketika berada di atas jalan raya.
Semoga sambutan kali ini dapat mengubat rindu yang lama terpendam. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
* Riswandi Razak ialah Editor Pengisian Sinar Harian