SHAH ALAM - Kes positif Covid-19 terutamanya bagi kategori satu dan dua iaitu tiada gejala dan gejala ringan dijangka menunjukkan peningkatan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend kes positif Covid-19 untuk tempoh dua bulan lalu menunjukkan sebanyak 99.5 peratus kes adalah kategori satu dan dua.
Malah katanya, kadar kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta bantuan alat pernafasan juga semakin berkurangan.
"Kita jangka selepas hari raya mungkin kes akan meningkat, tetapi kebanyakannya adalah kategori satu dan dua.
"Untuk tempoh dua bulan, kita telah perhatikan trend kes Covid-19, kebanyakan kes 99.5 peratus adalah kategori satu iaitu tidak ada gejala atau kategori dua, gejala ringan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,503 kes positif harian yang direkodkan pada Ahad menunjukkan perkembangan baik susulan liputan vaksinasi memberi imuniti kelompok kepada masyarakat.
"KKM berharap trend ini kekal supaya dapat mengharungi Covid-19 dengan baik dan hidup bersama virus dalam peralihan ke endemik.
"Kalau kita bekerjasama dan bertanggungjawab dengan menjalankan kawalan kendiri akan dapat membendung penularan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu beliau turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Hospital Putrajaya bagi menyantuni anggota KKM yang bertugas pada pagi Syawal.
"Amalan tahunan saya selepas solat raya Aidilfitri adalah terus ke Hospital Putrajaya untuk menyantuni anggota kesihatan yang bertugas dan melawat pesakit pada hari pertama Syawal.
"Saya juga berkesempatan untuk ke Institut Kanser Negara (IKN) untuk bersama warga KKM yang sedang bertugas,” katanya.