Piala Thomas: New Zealand 'tersingkir' akibat Covid-19

Iklan
Piala Thomas

KUALA LUMPUR - New Zealand terpaksa menarik diri daripada menyertai Piala Thomas selepas beberapa pemain mereka dijangkiti Covid-19, hanya tinggal empat hari sebelum pertandingan bermula di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Menurut Badminton New Zealand, mereka memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan berpasukan lelaki berprestij dunia itu selepas beberapa pemainnya diuji positif Covid-19 semasa Kejohanan Oceania baru-baru ini dari 28 April hingga 1 Mei di Melbourne, Australia.

Iklan
Iklan

"Semasa kejohanan dan pada hari-hari berikutnya selepas acara itu, beberapa pemain diuji positif. Ini telah menyebabkan pasukan semakin kekurangan pemain, dengan kemungkinan kes positif tambahan dikesan semasa tiba di Thailand.

"Keputusan sukar untuk menarik diri pasukan dibuat dengan mengambil kira semua faktor dan meletakkan kebajikan pemain sebagai keutamaan dalam pemikiran kami. Kami memberi tumpuan untuk menyokong baki pemain New Zealand di Australia dan membawa mereka pulang dengan selamat, secepat mungkin,” menurutnya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

New Zealand diundi dalam Kumpulan D dengan juara 2014 Jepun, England dan Malaysia.

Memandangkan Jepun adalah antara pasukan pilihan dalam kejohanan itu, Malaysia kini perlu menang menentang England untuk memastikan tiket ke suku akhir. Hanya dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Iklan

Juara bertahan Indonesia, China dan Denmark adalah pilihan untuk kejohanan ini yang akan berlangsung dari 8 hingga 15 Mei.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan berasingan berkata, Amerika Syarikat (AS) akan menggantikan New Zealand dalam Kumpulan D.

"Tidak ada persatuan ahli Oceania lain yang dapat memenuhi tempat kuota benua. Hong Kong dan Sepanyol berada di kedudukan seterusnya berdasarkan ranking dunia, tetapi mereka juga menolak.

"Pasukan AS mengesahkan penyertaan mereka dan akan berada dalam Kumpulan D bersama Jepun, Malaysia dan England,” menurut BWF. - Bernama