Polis tahan 'DINA', 'MIRA', 'J3H3'

Iklan
Nombor pendaftaran 'DINA', 'MIRA' dan 'J3H3' pada kenderaan yang ditahan polis pada Selasa. - Foto Polis

KUALA TERENGGANU – Polis menahan tiga pemandu kerana dikesan menggunakan nombor pendaftaran 'DINA', 'MIRA' dan 'J3H3' pada kenderaan mereka pada Selasa.

Dua kenderaan pelbagai guna (MPV) menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ dan ‘DINA’ ditahan Skuad 42 JSPT Terengganu semasa pemantauan kelancaran trafik dan samseng jalanan di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Padang Midin.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, dua MPV jenis Toyota Alphard itu berjaya ditahan pada jam 3.24 dan 3.44 petang di lokasi berkenaan.

"Mereka beri alasan menggunakan nombor pendaftaran ‘MIRA’ dan ‘DINA’ kerana teruja memperolehi MPV baharu untuk menyambut Syawal dan dedikasikan atas nama isteri atau seseorang.

Iklan

"Namun, alasan itu tidak diterima dan mereka ditahan dan dibawa oleh Skuad 42 ke BSPT Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Ismail, selepas tiga jam kemudian pihaknya menahan sebuah kereta Volkswagen Golf MK6 dipandu oleh seorang lelaki berusia 24 tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran ‘J3H3’di Bandar Baharu Kuala Nerus.

Iklan

Beliau berkata, lelaki berasal dari Setiu itu memberi alasan tidak sempat menukar nombor pendaftaran mengikut spesifikasi ditetapkan kerana kenderaan tersebut kononnya baru dibeli pada malam raya.

"Pemandu dan kereta berkenaan kemudian ditahan dan dibawa Skuad 42 ke BSPT Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 108 (3)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran yang hampir menyerupai apa-apa tanda bagi tujuan untuk memperdayakan pihak berkuasa.

"Jika disabitkan kesalahan, pemilik ‘MIRA’, ‘DINA’ dan ‘J3H3’ boleh dikenakan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara atau kedua-duanya,” katanya.