SHAH ALAM – Speaker Sidang DUN Selangor membuat penetapan lebih terperinci terhadap etika pemakaian bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan ADUN untuk sesi persidangan akan datang.
Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) menegaskan, penetapan pemakaian baju ‘lounge suit’ berwarna hitam bagi lelaki dan pakaian kemas atau berbaju kurung dengan blazer berwarna hitam untuk wanita supaya tidak lagi timbul isu salah faham.
"Penetapan ini penting bagi memastikan ahli DUN Selangor mematuhi peraturan tetap dan jika ada yang tidak berpuas hati, boleh usulkan untuk dibahaskan dan perlukan 18 sokongan majoriti.
"Sidang DUN bukannya ‘fesyen show’ dan perlu menghormatinya. Saya juga mahu semua ahli DUN Selangor berdisiplin dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada DUN lain,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Pertama Penggal ke-2 DUN Selangor.
Suee Lim turut menasihatkan, menjadi satu kesalahan tidak mematuhi peraturan dewan termasuk ketidakpatuhan etika pemakaian oleh ADUN Taman Templer dan Sungai Panjang pada sesi sidang DUN terdahulu.
"Bagaimanapun, saya tak ambil tindakan tegas dan beri peluang memandangkan ADUN ini masih baharu dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada sesi sidang akan datang.
"Dan kali ini, ADUN Bukit Lanjan pula. Tapi saya ambil sikap sama menasihatkan supaya patuh peraturan. Teguran ini bukan niat berdendam atau malukan sesiapa tapi nasihat ikhlas bagi bersama memelihara kemuliaan dewan,” katanya.
Terdahulu, Suee Lim menegur ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong kerana tidak mematuhi etika berpakaian pada sidang DUN kerana memakai blazer putih yang dipadankan dengan kain biru muda serta kasut but merah.
Mengulas lanjut mengenai prestasi kehadiran ahli DUN Selangor, Suee Lim menyifatkan ketidakhadiran empat ADUN pembangkang dan tiga ADUN PH pada sidang hari ini kurang memberangsangkan.
"Ramai ADUN tidak hadir sebelah pagi sehingga banyak lompat soalan sedangkan inilah masanya untuk mereka membahaskan usul dan sesi soal jawab Menteri Besar Selangor. Prestasi kurang memuaskan.
"Hari ini saya faham, ada sambutan Hari Polis tapi ahli DUN kena tahu keutamaan sebab kita sidang pun dalam setahun hanya beberapa kali saja,” katanya ketika diminta mengulas ketidakhadiran empat ADUN BN pada sidang DUN hari ini.