HULU TERENGGANU – Tindakan berani tiga remaja berusia 14 tahun menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu di sekitar Kuala Berang, di sini untuk beraya mengundang padah apabila mereka disaman polis pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, remaja bawah umur itu sebahagian daripada 111 saman dikeluarkan dalam operasi di Tasik Kenyir selama tiga jam bermula jam 5 petang.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 82 saman melibatkan kesalahan motosikal manakala 29 lagi kereta.
"Antara punca mereka disaman adalah menggunakan nombor plat kenderaan fancy yang tidak mengikut peraturan, gagal menunjukkan lesen mamandu, tidak memakai topi keledar, ubai suai ekzos dan aksesori tidak sempurna,” katanya pada Rabu.
Mohd Adli berkata, sepanjang tempoh tiga jam operasi di lokasi berkenaan sebanyak 130 kenderaan dan 150 individu telah diperiksa namun tiada sebarang tangkapan serta sitaan dibuat.
Katanya, operasi tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa di lokasi tertentu dalam memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan sekaligus mengurangkan kemalangan.
"Dalam keghairahan berkunjung ke rumah saudara mara untuk menyambut bulan Syawal, saya harap orang ramai sentiasa mematuhi peraturan.
"Pantau anak masing-masing dan jangan biarkan mereka bebas memandu kenderaan tanpa lesen kerana ia boleh mengundang bahaya,” katanya.