PM berhari raya bersama Chong Wei

Iklan
Ismail Sabri ketika menerima kunjungan Chong Wei sekeluarga sempena Aidilfitri. - Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi berhari raya dengan Datuk Lee Chong Wei selepas dua tahun tidak meraikan Aidilfitri bersama legenda badminton negara itu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Rabu, Perdana Menteri berkata, setiap tahun Chong Wei akan membawa isteri, Datin Wong Mew Choo serta dua anaknya, Kingston dan Terrence beraya di kediaman beliau.

Iklan
Iklan

"Chong Wei amat rapat dengan saya semenjak saya Menteri Belia dan Sukan, sehinggalah sekarang,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Chong Wei kerana menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Iklan

"Semoga Chong Wei terus membantu meningkatkan kecemerlangan badminton negara,” tambahnya.

Chong Wei mengumumkan persaraannya pada Jun 2019 selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Iklan

Sementara itu, Chong Wei dalam hantaran di Facebooknya pula menyifatkan pertemuan itu agak istimewa selepas dua tahun negara dilanda wabak Covid-19.

"Ramai yang tidak tahu yang Chong Wei dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah berkenalan rapat sejak 2008 ketika beliau menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan.

"Sejak itu, setiap tahun kami sekeluarga akan melawat rumah beliau ketika hari raya. Tahun ini agak istimewa kerana sudah dua tahun tidak jumpa,” katanya.

Menurutnya, beliau turut berkongsi pandangan dan pengetahuan mengenai perkembangan badminton negara dengan isteri Perdana Menteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin yang juga merupakan Penaung Persatuan Badminton Malaysia. - Bernama