PHNOM PENH - Kemboja, Indonesia dan Thailand bakal menjadi tuan rumah tiga mesyuarat penting di rantau Asia Tenggara tahun ini, menurut kenyataan bersama dikeluarkan kementerian luar ketiga-tiga negara itu pada Rabu.
Kemboja akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan dari 11 hingga 13 November; Indonesia menganjurkan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) dari 15 hingga 16 November, manakala Thailand menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dari 18 hingga 19 November.
Iklan
Iklan
ASEAN, G20 dan APEC berkongsi persamaan iaitu memberikan peluang unik kepada semua peserta untuk bersama-sama memajukan agenda global dan serantau untuk membawa keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan serta inklusif kepada rakyat, memetik kenyataan itu, lapor Xinhua.
Sidang kemuncak ASEAN berazam untuk mengukuhkan daya tahan ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan global dan mengekalkan peranan utama badan serantau itu selain untuk mempercepatkan usaha bersama pulih daripada kesan Covid-19.
Sementara itu, sidang kemuncak G20 bertujuan memudahkan pemulihan yang kukuh dan inklusif untuk semua dan Indonesia komited memastikan G20 kekal relevan.
Sidang kemuncak APEC pula antara lain akan menumpukan kepada mempercepat integrasi ekonomi serantau untuk mencapai kemakmuran bersama. - Bernama