IPOH - Seorang anggota polis meninggal dunia akibat lemas di kawasan air terjun Kampung Sungai Tonggang di Tanjung Rambutan di sini lewat petang Rabu.
Kejadian sekitar jam 5.55 petang itu berlaku ketika mangsa, Amirul Izuddin Muhammad, 28, berpangkat lans koperal dan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman datang untuk mandi di kawasan itu bersama isteri dan ahli keluarga lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika kejadian, mangsa bersama empat yang lain dikatakan telah naik ke atas bukit dan terjun ke dalam lubuk sungai berkenaan yang airnya agak dalam.
Bagaimanapun menurutnya, mangsa tidak kelihatan di permukaan, rakan dan saudara mangsa yang bersama dengannya cuba menunggu hampir lima minit, tetapi tetap tidak timbul.
"Keadaan itu menyebabkan seorang yang bersama mangsa turun dari kawasan itu untuk mendapatkan bantuan.
"Pasukan mencari dan menyelamat kemudiannya digerakkan di lokasi hingga mangsa berjaya ditemui pada jam 11.15 malam dan didapati lemas dalam lubuk air berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan awal ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat luka pada bahagian kepala dipercayai terkena batu.
"Kemungkinan kepala mangsa cedera akibat terkena pada batu bawah air semasa terjun ke dalam lubuk itu," katanya.
Mior Faridalathrash berkata, laporan dibuat memaklumkan, mangsa pulang ke kampung isterinya yang juga anggota polis di Taman Putra Permai, Bandar Baru Putra sempena cuti Aidilfitri ini.
Katanya, pada hari kejadian sekitar jam 4 petang, mangsa menaiki motosikal bersama isteri ke lokasi kejadian untuk mandi.
"Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat. Bantuan kebajikan akan diberikan kepada waris mangsa melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh," katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, panggilan kejadian itu diterima pada jam 5.56 petang.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat digerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun bersama anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), polis dan Komando VAT 69 yang membuat selaman hingga mangsa dijumpai di lokasi kejadian.
"Operasi ditamatkan pada jam 11.20 malam," katanya.