Anggur jadi hidangan istimewa Aidilfitri

Iklan
Tetamu dari seluruh negara berkunjung ke rumah Syed Norhaimi berpeluang menikmati anggur tuaian bekas kakitangan Risda tersebut.

JERANTUT - Sebuah keluarga di Taman Seri Embun di sini menyajikan buah anggur tuaian sendiri sebagai hidangan istimewa sempena Aidilfitri sejak Isnin lalu.

Sehingga Khamis, lebih 1,000 tetamu dari seluruh negara termasuk Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kuala Lumpur tidak melepaskan peluang menikmati anggur yang ditanam sendiri oleh bekas kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Iklan
Iklan

Syed Norhaimi Syed Zin, 57, berkata, rezeki buat mereka yang datang untuk merasa sendiri keenakan buah anggur yang ditanam di kawasan rumahnya.

"Syukur kerana hasil tuaian menggalakkan dan matang pada Aidilfitri kali ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Sejak Mac lalu, beberapa pokok anggur varieti manis jenis 'jubilee' dan 'ninel' lebat mengeluarkan hasilnya.

Syed Norhaimi mula mengusahakan tanaman anggur sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020 lalu.

Iklan

"Saya dapatkan anak pokok yang berasal dari Eropah dan kemudiannya ditanam di sekeliling rumah.

"Saya juga menjual anak pokok buah anggur yang bernilai RM100 hingga RM200 bergantung jenis varieti," katanya.