Pengembara dari Malaysia boleh guna pas sempadan ke Thailand

Iklan
Pengembara dari Malaysia dan Thailand kini boleh menggunakan pas sempadan untuk memasuki kedua-dua negara bermula pada Khamis. - Foto hiasan

PADANG BESAR - Pengembara dari Malaysia dan Thailand kini boleh menggunakan pas sempadan untuk memasuki kedua-dua negara bermula pada Khamis.

Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Ruzaini Rais berkata, kelonggaran itu diberikan hasil persetujuan kerajaan Malaysia dan Thailand bagi merancakkan kembali pembangunan di kedua-dua negara.

Iklan
Iklan

Ruzaini berkata, pengembara atau pelancong yang ingin menggunakan pas sempadan hanya perlu membuat permohonan menerusi laman portal 'Thailand Pass' dalam tempoh 24 jam sebelum perjalanan ke negara berkenaan.

"Penggunaan pas sempadan ini hanya dibenarkan untuk penduduk di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak Utara dan Kelantan.

Iklan

"Mereka yang menggunakan pas sempadan juga hanya dibenarkan memasuki Thailand selama tiga hari," katanya selepas mengadakan lawatan susulan pembukaan semula pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ruzaini berkata, Malaysia turut memberi kelonggaran kepada pengembara atau pelancong dari Thailand yang menggunakan pas sempadan untuk berulang alik memasuki negara ini namun pihak terlibat seharusnya lengkap divaksinasi.

Iklan

Beliau berkata, bagi pengembara atau pelancong yang menggunakan passport untuk ke Malaysia, prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai adalah sama seperti pembukaan sempadan negara pada 1 April lepas.

"Individu yang ingin memasuki negara ini menggunakan pasport juga perlu membeli perlindungan insurans dan melakukan saringan kesihatan terlebih dahulu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruzaini berkata, seramai 82 pengembara telah direkodkan merentasi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pintu sempadan ICQ Padang Besar setakat 10 pagi tadi.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan jumlah pengembara dari kedua-dua negara itu bakal bertambah dalam tempoh seminggu selepas ini.

Pada 1 April lepas, pintu sempadan di Wang Kelian dibuka semula kepada rakyat Malaysia-Thailand selepas ia ditutup sebelum ini berikutan ancaman wabak Covid-19. - Bernama