'Tak tenang jika tak bersihkan pantai'

Iklan
Armanizam (kiri), Sharifah (tengah) serta Saiful Amirul melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan pantai pada hari raya.

PORT DICKSON - Ketika orang lain berada di rumah beraya bersama sesi keluarga, sebahagian pekerja syarikat pembersihan SWM Environment Sdn Bhd terus berkhidmat untuk masyarakat bagi memastikan persekitaran bersih dan selesa termasuk di kawasan pantai Port Dickson.

Seawal jam 6 pagi, mereka telah memulakan tugas dan hanya pulang ke rumah pada jam 4.30 petang.

Iklan
Iklan

Bagi pasangan suami isteri, Saiful Amirul Awang, 36, dan Sharifah Ismail, 37, ia sudah dianggap biasa dan biasanya bersedia bertoleransi dengan rakan sekerja lain yang berjauhan dengan keluarga.

"Seawal jam 6 pagi kami dah ada di pantai buat kerja-kerja pembersihan dan jam 7.30 pagi akan pulang ke rumah untuk bersiap-siap pergi ke masjid bagi menunaikan solat Aidilfitri.

Iklan

"Selepas itu saya akan pulang ke rumah makan bersama sesi keluarga sebelum datang semula ke pantai menyambung tugasan.

"Waktu hari raya pertama ini kami diberi sedikit kelonggaran,” kata Saiful Amirul kepada Sinar Harian.

Iklan

Meskipun perlu bekerja pada hari raya, namun katanya, persiapan hari raya tetap dibuat termasuk membeli baju raya.

Katanya, anak-anak berusia 16 dan 18 tahun sangat memahami kerana sejak kecil mereka didedahkan dengan tugas kerja-kerja pembersihan.

"Saya bersyukur kerana anak-anak tak pernah merungut dan ketika masih kecil ada ketikanya mereka ikut kami membersihkan kawasan pantai.

"Saya pula sudah merantau seawal usia 13 tahun, jadi tak berapa kisah jika tidak pulang ke kampung beraya," katanya.

Dari kanan Sharifah, Saiful Amirul dan Armanizam.

Bagi Sharifah pula, dia gembira dengan tugasnya itu dan tidak kisah terpaksa bekerja pada hari raya memandangkan rumah keluarganya hanya di Port Dickson.

Katanya, dia juga bernasib baik kerana bekerja di tempat sama dengan suami yang membolehkan mereka beraya bersama.

"Saya dah bekerja dengan syarikat SWM Environment ini tujuh tahun dan telah ditugaskan menjaga kawasan Pantai Saujana yang lokasinya tidak jauh dengan rumah saya.

"Jadi saya tak kisah untuk bekerja pada hari raya.Lagipun kalau tak pergi kerja hati saya tak tenang kerana fikir pasal sampah, iyalah...saya dah buat kerja ini lama,” katanya.

Ujarnya, juadah raya biasanya akan dimasak terlebih dahulu sebelum pergi bekerja atau selepas habis waktu bekerja.

Armanizam (kiri) dan Sharifah (kanan) serta Saiful Amirul menyambut hari raya di pantai.

Selain itu, dia merasakan satu tanggungjawab dan amanah besar untuk melaksanakan tugas ketika waktu puncak terutamanya cuti perayaan bagi memastikan kebersihan pantai bersih dan selesa untuk dikunjungi orang ramai.

Bagi Armanizam Ismail,45, pula, meskipun terpaksa bekerja pada hari raya, tetapi dia tetap berpeluang menyambut hari raya bersama anak perempuan tunggalnya berusia 15 tahun.

Menurutnya, apa yang menyeronokkan bekerja pada waktu raya apabila ada pengunjung pantai yang bermurah hati memberikan lemang dan rendang.

"Walaupun bekerja, kami tetap beraya dan makan juadah hari raya. Cuma bezanya kami tak pakai baju raya. Lagipun saya bertugas dengan adik saya (Sharifah) dan suami.

"Jadi saya tak kisah pun untuk bekerja. Yang penting, saya bangga dengan pekerjaan saya berkhidmat untuk masyarakat dalam memastikan persekitaran pantai bersih," katanya.

Tambah Armanizam, bukan saja mereka yang bekerja pada hari raya tetapi juga anggota keselamatan dan pihak berkuasa.