Banjir: Sempat selamatkan barang bayi sebelum berpindah ke PPS

Iklan
Zuraidah yang sarat mengandung tujuh bulan bersama dua orang anaknya berlindung di PPS SK Sri Bunian selepas rumahnya di Kampung Jasa Sepakat Pontian, dilanda banjir.

PONTIAN - Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan sempat menyelamatkan barang bayi sebelum kediamannya dinaiki air akibat banjir.

Zuraidah Md Nor, 30, bersama suami, Mohd Sukaimi Sidek, 35, serta dua orang anaknya berusia empat dan enam tahun berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Kampung Jasa Sepakat di sini dinaiki air.

Iklan
Iklan

Suri rumah itu berkata, selepas diberitahu penduduk kampung mengenai air sungai yang semakin meningkat, dia bergegas pulang dari rumah ibu mentua di Tenggayun.

"Saya bersama anak-anak pulang beraya ke kampung suami di Tenggayun. Bila dapat tahu air sungai yang terletak belakang rumah kami semakin meningkat, saya mula bimbang banjir akan berlaku.

Iklan

"Saya dan suami pulang ke rumah untuk menyelamatkan barang bayi, pakaian anak-anak dan dokumen penting. Air naik begitu cepat selepas Maghrib," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bunian di sini pada Khamis.

Menurut Zuraidah, demi keselamatan kandungan dan dua orang anaknya yang masih kecil, dia dan suami berpindah PPS pada jam 8 malam pada Rabu.

Iklan

"Saya bersyukur kerana dapat berpindah ke PPS, di sini ramai yang membantu. Semoga banjir cepat surut dan kami sekeluarga dapat pulang ke rumah," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Rimba Terjun, Mohd Hisyam Mazlan berkata, PPS SK Sri Bunian dibuka pada jam 9 malam bagi menempatkan penduduk dari Kampung Jasa Sepakat yang dilanda banjir.

Katanya, setakat jam 12 tengah hari pada Khamis seramai 117 mangsa daripada 20 keluarga berlindung di PPS itu.