KUALA LUMPUR - Presiden Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi mencadangkan agar Malaysia memenuhi kewajipan antarabangsanya untuk menyerahkan laporan awal sebagai Negara Pihak dalam Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) kepada Jawatankuasa Hak Orang Kurang Upaya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ras Adiba dalam kenyataan pada Khamis juga mencadangkan kepada kerajaan Malaysia agar mengambil usaha dan inisiatif untuk menandatangani Perjanjian Marrakesh bagi memudahkan akses kepada karya terbitan serta cetakan untuk OKU buta.
Katanya, ini bagi memastikan penyampaian maklumat dan mutu perkhidmatan yang tinggi disediakan buat kategori OKU penglihatan.
Dua cadangan berkenaan adalah antara empat cadangan dikemukakan Ras Adiba semasa kunjungan hormatnya kepada Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Datuk Syed Mohamad Hasrin Aidid.
Ras Adiba juga mencadangkan agar kerajaan Malaysia menarik balik tempahan kepada CRPD, Artikel 15 mengenai"Kebebasan daripada penyeksaan atau layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan martabat" dan Artikel 18 mengenai"Kebebasan pergerakan dan kewarganegaraan" yang pernah ditandatanganinya.
Cadangan lain Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam kunjungannya itu adalah supaya kerajaan Malaysia menandatangani dan mengesahkan Protokol kepada CRPD.
Sementara itu, Ras Adiba menyeru agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyegerakan proses bagi penyerahan laporan berkaitan CRPD secepat mungkin kerana sudah lebih 10 tahun Malaysia tidak menghantar laporan kepada PBB.
"Perkara ini harus disegerakan sejajar dengan Malaysia telah diberi kepercayaan melalui pelantikannya sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) bagi penggal 2022-2024.
"Tiga prinsip utama pendekatan hak asasi manusia, iaitu maruah, kesamaan dan inklusif penting dilaksanakan kerana mampu mengurangkan persepsi negatif dan diskriminasi masyarakat terhadap golongan OKU,” katanya.
Menurut Ras Adiba, beliau juga berbincang dengan Syed Mohamad Hasrin mengenai akses pendidikan terutamanya biasiswa PBB kepada OKU bagi memastikan golongan tersebut tidak tercicir dalam mendapatkan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Perwakilan Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York turut memberi jaminan dan sokongan agar isu-isu berkaitan Orang Kurang Upaya akan sentiasa diberikan perhatian serius dan tumpuan,” katanya. - Bernama