KUALA LUMPUR - Majlis Peguam akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membincangkan isu berhubung dakwaan ugutan terhadap kehakiman baru-baru ini, kata Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn.
Bagaimanapun beliau berkata, butiran penuh mengenai EGM itu akan dimuktamadkan selepas Aidilfitri dan notis EGM berkanun yang diperlukan akan dikeluarkan kepada semua ahli Majlis Peguam selewat-lewatnya pada Khamis.
"Kami berharap dapat melihat kehadiran ahli Majlis Peguam di seluruh negara termasuk presiden kami yang lepas untuk menyatakan pendapat mereka mengenai isu ini dan untuk mengundi mengenai usul yang penting bagi masa depan badan kehakiman kita sebagai institusi yang sangat diperlukan dan penting,” katanya dalam kenyataan.
Karen berkata, Majlis Peguam juga mengadakan satu lagi mesyuarat tergempar pada Jumaat lepas untuk menangani isu dakwaan ugutan (intimidasi) terhadap kehakiman dan secara kolektif memutuskan EGM akan diadakan segera di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
"EGM akan datang akan membincangkan kemungkinan pilihan yang ada bagi Badan Peguam Malaysia serta untuk meneliti dan membahaskan usul-usul yang dibentangkan oleh Majlis Peguam, serta apa-apa usul lain yang mungkin kami terima tujuh hari sebelum EGM oleh ahli Majlis Peguam,” katanya.
Pada 27 April, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika berucap pada majlis angkat sumpah 17 pesuruhjaya kehakiman yang disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, berkata tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap hakim serta badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.Beliau berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.
Baru-Baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita mendakwa beliau telah disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April lepas memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.
Badan kehakiman turut membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud konspirasi antara Tengku Maimun dan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan serta hukuman terhadap Najib dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Bernama