'Syukur sempat jumpa anak dan cucu sebelum rumah dinaiki air'

Iklan
Ramin (kiri, duduk) sempat merakam kenangan bersama keluarganya pada pagi Syawal pertama sebelum rumahnya dinaiki air pada Selasa.

PONTIAN – Biarpun diuji dengan bencana banjir, namun Ramin Kassim, 70, tetap bersyukur kerana sempat bertemu anak-anak dan cucu sebelum rumahnya di Kampung Sri Gambut dinaiki air pada pagi Syawal kedua.

Ramin berkata, enam anaknya termasuk dua anak angkat dan 12 cucu pulang ke kampung untuk berhari raya selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian disebabkan penularan Covid-19.

Iklan
Iklan

"Saya dan isteri Marwiyah Jamin, 65, gembira sebab dapat jumpa anak-anak dan cucu. Kami juga sempat adakan perjumpaan keluarga bagi kedua-dua belah pihak saya dan isteri pada hari raya pertama.

"Namun, kami sekeluarga diuji dengan kejadian banjir pada Syawal kedua," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara ( PPS) Kampung Melayu Raya pada Khamis.

Iklan

Menurut Ramin, kediamannya sudah beberapa kali dilanda banjir sepanjang 35 tahun dia dan keluarganya tinggal di Kampung Sri Gambut.

"Banjir paling besar pada tahun 2001 di mana berlaku fenomena kepala air di Gunung Pulai.

Iklan

"Kalau nak tanya soal kerugian, saya tidak membeli banyak perabot dan peralatan elektrik kerana tidak mahu terus menanggung kerugian setiap kali banjir berlaku,” katanya.

Keadaan rumah Ramin di Kampung Sri Gambut yang masih ditenggelami air.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (12) Mukim Pontian, Adam Yusof berkata, Kampung Seri Gambut ini merupakan 'hot spot’ kawasan yang kerap dilanda banjir kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dengan tali air.

"Banjir kali ini agak teruk apabila empat keluarga telah dipindahkan ke PPS di SK Melayu Raya. Pemantauan sedang dilakukan bagi memastikan penduduk yang terjejas banjir dapat dipindahkan segera ke PPS.

Sebelum itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn ) Mohd Ezzuddin Sanusi selaku Pengerusi Southern Voluteers Daerah Pontian mengadakan lawatan ke lokasi banjir di Kampung Sri Gambut.

Setakat jam 12 tengah hari pada Khamis, seramai 19 mangsa daripada empat buah keluarga berlindung di PPS SK Kampung Melayu Raya.

Adam (kanan) memberikan taklimat kepada Mohd Ezzuddin ( tiga dari kanan) ketika mengadakan tinjauan di Kampung Sri Gambut yang dilanda banjir.