Dua beradik maut kereta rempuh treler

Iklan
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Gambar kecil: Noor Izmie dan Noor Irwan Shah - Foto Sinar Harian: IHSAN BOMBA

Kereta dipandu rakan terbabas sebelum merempuh treler

KAMPUNG GAJAH - Dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh treler dalam kejadian di Kilometer 22 Jalan Teluk Intan-Sitiawan di sini, tengah malam tadi.

Mangsa Noor Izmie Shah Anuar, 15, yang duduk di bahagian belakang maut di lokasi kejadian manakala abangnya, Nor Irwan Shah Anuar, 17, yang duduk di bahagian hadapan penumpang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan (HTI).

Iklan
Iklan

Turut parah seorang lagi penumpang kereta berkenaan yang berusia 18 tahun dan masih tidak sedarkan diri manakala pemandu kereta terbabit hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 12 malam ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan.

Iklan

"Apabila tiba di tempat kejadian dipercayai kereta dipandu remaja lelaki 18 tahun itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar bahagian hadapan treler yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri menghala ke Sitiawan.

"Pelanggaran itu mengakibatkan Noor Izmie cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala abangnya Nor Irwan Shah disahkan meninggal dunia pada jam 9.05 pagi tadi di HTI," katanya dalam satu laporan hari ini.

Iklan

Menurut Mohamad Zainal, mayat Noor Izmie dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat sementara itu mayat Nor Irwan Shah pula dibawa ke Unit Forensik HTI untuk bedah siasat.

Katanya lagi, dalam kejadian itu, pemandu treler berusia 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kawasan kemalangan itu merupakan jalan lurus dua hala dengan terdapat garisan berkembar di atas jalan. Pelanggaran dua buah kenderaan itu menyebabkan kedua-duanya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.50 tengah malam.

"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis dan ambulans untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang diketuai Khairul Azhar Yaakob itu tamat sepenuhnya pada 1.55 pagi," katanya.