Pengguna alih penghadang konkrit elak kesesakan

Iklan
Tangkap layar video tular pengguna jalan raya mengalihkan penghadang konkrit yang dipasang di Jalan Teluk Intan-Sitiawan. Gambar kecil: Ahmad Adnan

TELUK INTAN - Polis memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengalihkan batu konkrit yang dijadikan penghadang laluan di Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran ladang Sime Darby dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, terdapat aduan segelintir orang awam telah bertindak mengalihkan penghadang berkenaan bagi membolehkan kenderaan mereka menggunakan laluan terbabit.

Iklan
Iklan

"Tindakan ini adalah satu kesalahan kerana boleh membahayakan dan mengelirukan pengguna jalan raya lain dengan laluan sebenar yang sepatutnya digunakan.

"Penghadang konkrit ini dipasang kerana laluan terbabit belum dibuka sepenuhnya kepada pengguna," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan
Penghadang konkrit telah dipasang semula di Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran ladang Sime Darby. Foto Facebook BSPT IPD Hilir Perak

Pada Rabu, tular satu video berdurasi 31 saat menunjukkan pengguna jalan raya mengalihkan penghadang batu konkrit untuk memberi laluan kenderaan melaluinya.

Tindakan itu dibuat selepas berlaku kesesakan aliran trafik disebabkan pertambahan kenderaan di laluan berkenaan.

Iklan

Ahmad Adnan berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah telah mengambil langkah menutup semula penghadang jalan yang telah dialihkan.

Katanya, hebahan juga dilakukan termasuk di laman sosial meminta orang awam menggunakan laluan yang telah ditetapkan bagi mengelak berlaku kesesakan di musim perayaan ini.

"Tindakan saman boleh dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ditutup itu atas kesalahan memotong barisan," katanya.