SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mengembalikan pemilikan Malaysia Airlines Berhad (MAS) ke tangan pelabur swasta seperti sebelum tahun 2014.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, MAS juga disaran disenaraikan semula di Bursa Malaysia supaya pelabur swasta seperti institusi pelaburan dan pelabur runcit tempatan dapat membeli saham syarikat penerbangan tersebut.
Manakala, katanya, kerajaan disarankan untuk mengurangkan pegangan ekuitinya daripada 100 peratus ketika ini kepada sekitar 30 peratus.
"Langkah ini akan dapat membantu kerajaan kerana ketika ini, kerajaan menanggung 100 peratus kerugian MAS. Pada masa sama, kerajaan digesa memegang 'golden share' dalam MAS selepas proses penyenaraian di pasaran saham, supaya kerajaan masih mempunyai kata putus dalam beberapa aspek pengurusan MAS walaupun hanya memegang ekuiti minoriti.
"Ini dapat memastikan identiti MAS sebagai syarikat penerbangan nasional dapat terus dipelihara. Justeru, pegangan ekuiti majoriti MAS tidak perlu dijual kepada pelabur atau syarikat luar negara supaya peranan MAS di Malaysia tidak berkurangan pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Faiz, Pemuda Amanah juga mencadangkan beberapa individu yang pernah menyumbang ke arah kecemerlangan MAS dilantik semula ke dalam lembaga pengarah MAS.
"Ini termasuk Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS pada tahun 80-an yang telah memperbaiki kedudukan kewangan MAS," katanya.
Selain itu, katanya, salah satu 'growth engine' MAS yang perlu diberi perhatian adalah perkhidmatan penerbangan kos rendah Firefly."Pemuda Amanah berpandangan potensi subsidiari MAS ini belum dioptimasikan. Ketika ini, operasi Firefly hanya di Lapangan Terbang Subang dan menggunakan kapal terbang bersaiz kecil.
"Pemuda Amanah mencadangkan agar model operasi Firefly ditukar dan dibentuk selari dengan strategi dan model Air Asia," katanya.