'Saya harap mereka boleh kaji semula peraturan'

Iklan
Sathianathan

SEJAK bermulanya penularan Covid-19 pada 2020, beberapa perubahan peraturan telah diwujudkan penganjur kejohanan sukan di seluruh dunia bagi memudahkan para atlet untuk bertanding dalam mana-mana pertandingan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak dapat dilihat dalam pertandingan bola sepak Sukan SEA Hanoi 2021 kali ini apabila pihak penganjur hanya membenarkan pendaftaran 20 pemain sahaja daripada setiap pasukan bertanding sama seperti dalam edisi sebelum ini

Iklan
Iklan

Bagi bekas pengendali pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara, B Sathianathan keputusan pihak penganjur masih mengekalkan jumlah tersebut sahaja sebagai sesuatu yang mengecewakan dan disifatkan hanya memberi kelebihan kepada tuan rumah.

"Sebenarnya, saya tidak terkejut dengan keputusan itu kerana Sukan SEA memang begitu sejak dari dulu lagi. Sesuka hati buat peraturan sendiri tetapi mahu melabelkan temasya ini umpama berkelas tinggi.

Iklan

"Tetapi saya rasa dengan situasi Covid-19 yang masih melanda mereka perlu berlembut sedikit dan menambah jumlah para pemain yang boleh didaftarkan. Sebab kalau ada di antara mereka dijangkiti Covid-19, ia mungkin berpotensi merebak dengan cepat kerana mereka berkongsi bilik.

"Malah kalau mereka membawa para pemain yang lebih sekalipun, pemain itu bukannya boleh berlatih bersama kerana hanya pemain yang didaftarkan sahaja dibenarkan berada dalam gelembung. Jadi saya harap mereka boleh kaji semula peraturan itu yang saya lihat ia akan beri kelebihan buat tuan rumah sahaja,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

Untuk rekod, berdasarkan peraturan sukan bola sepak di temasya Sukan SEA, setiap pasukan dibenarkan menyenaraikan 50 pemain dalam senarai awal sebelum perlu memilih hanya 20 pemain dalam senarai akhir.

Bagaimanapun, pasukan boleh membawa lebih daripada 20 pemain, namun tidak dibenarkan menyertai gelembung latihan dan hanya boleh digantikan sekiranya terdapat mana-mana pemain dijangkiti Covid-19.

Pada masa sama, pengendali sementara Sarawak United itu turut memuji tindakan Brad Maloney yang membawa empat pemain tambahan yang disifatkannya akan membantu pasukan sekiranya terdapat pemain dijangkiti Covid-19.

"Nampaknya Brad Maloney mungkin sudah belajar dari kesilapan lama seperti yang berlaku di Piala AFF di Kemboja tempoh hari.

"Malah walaupun mereka ini tidak dapat bersama pasukan, sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan masa Maloney untuk memanggil mereka menyertai pasukan sebagai persiapan menjelang Piala Asia B-23 nanti,” ujarnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan menentang juara terbanyak Sukan SEA, Thailand di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, pada Sabtu ini diikuti Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) bagi memburu dua slot teratas kumpulan untuk layak ke separuh akhir.