Mangsa banjir di Pontian terus berkurangan

Iklan
Onn Hafiz menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pontian pada petang Khamis.

PONTIAN - Situasi banjir di daerah ini terus menunjukkan perkembangan baik apabila mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Menurut Sekreteriat Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Pontian, setakat jam 8 pagi pada Jumaat, bilangan mangsa banjir terus berkurangan kepada 41 mangsa melibatkan 11 keluarga berbanding 168 mangsa banjir (31 keluarga) pada petang Khamis.

Iklan
Iklan

Katanya, dua PPS masih dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya menempatkan 19 mangsa banjir (empat keluarga) dan SK Seri Bukit Panjang menempatkan 32 mangsa banjir (tujuh keluarga).

"PPS di SK Seri Bunian yang sebelum ini menempatkan 117 mangsa banjir (20 keluarga) yang terdiri daripada penduduk Kampung Jasa Sepakat telah ditutup pada jam 6 petang, Khamis.

Iklan

"Keadaan cuaca bertambah baik, namun pemantauan bersama agensi-agensi berkaitan masih terus dijalankan pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menyampaikan sumbangan kepada 31 keluarga yang dilanda banjir kurniaan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Iklan

Majlis penyampaian dilakukan di tiga buah PPS iaitu SK Melayu Raya, SK Seri Bukit Panjang dan SK Seri Bunian.

Turut sama mengiringi lawatan beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng; Pegawai Daerah Pontian, Mohd Rafi Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Mohd Ezzuddin Sanusi.