NEW DELHI - India menyangkal laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan angka kematian akibat Covid-19 di negara itu 10 kali ganda berbanding angka rasmi.
Menurut laporan WHO pada Khamis, wabak itu telah mengorbankan kira-kira 4.7 juta orang di India sehingga penghujung 2021.
WHO menganggarkan jumlah kematian di seluruh dunia dikaitkan secara langsung atau tidak langsung akibat pandemik Covid-19 sejak Januari 2020 hingga Disember 2021 adalah kira-kira 14.9 juta, tiga kali ganda berbanding angka rasmi yang dilaporkan.
Kebanyakan kematian tidak langsung tertumpu di kawasan Asia Selatan dan Timur, Eropah, dan Amerika, manakala kira-kira 68 peratus di 10 negara di seluruh dunia, menurut WHO.
India, mengalami gelombang kedua Covid-19 pada 2021, menyumbang kepada angka korban yang tinggi.
"Kematian tidak langsung dikira berdasarkan perbezaan antara jumlah dan anggaran kematian jika tanpa wabak berdasarkan data dari tahun-tahun sebelumnya.
"Anggaran baharu ini menggunakan data terbaik yang tersedia dan telah dihasilkan menggunakan metodologi terkini serta pendekatan yang telus," kata Samira Asma, penolong ketua pengarah bahagian data dan analitik di WHO.
Bagaimanapun, kerajaan India membantah metodologi yang digunakan WHO bagi unjuran terhadap anggaran kematian.
"India mempersoalkan laporan WHO berdasarkan data diperoleh dari 17 negeri di India menerusi beberapa laman sesawang dan laporan media serta model matematik mereka.
"Ia mencerminkan metodologi pengumpulan data yang tidak kukuh dan boleh dipersoalkan secara saintifik terhadap unjuran kematian di India," menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Khamis.
Negara itu setakat ini melaporkan kira-kira 524,000 kematian akibat wabak itu.
Sebelum laporan WHO, anggaran antarabangsa lain juga mendapati jumlah kematian Covid-19 India sangat kurang dilaporkan.
Satu kajian diterbitkan jurnal kesihatan Lancet baru-baru ini mencatatkan angka kematian akibat Covid-19 mencecah 18.2 juta pada akhir 2021 manakala angka rasmi adalah kira-kira 5.9 juta.
Korban melibatkan masyarakat India dalam kajian jurnal itu adalah lebih empat juta, angka yang disifatkan Kementerian Kesihatan India sebagai 'spekulatif'.- Bernama