WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Perdana Menteri Romania, semalam berjanji negaranya akan memindahkan kedutaan mereka di Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Viorica Dancila membuat pengumuman itu ketika menghadiri persidangan tahunan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (Aipac) yang merupakan sebuah lobi pro-Israel yang berpengaruh.
Iklan
Iklan
"Saya sebagai perdana menteri Romania dan kerajaan yang ditadbir oleh saya akan memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis," katanya.
Keputusan kontroversi itu bagaimanapun ditentang Presiden Klaus Iohannis kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Jelasnya, dalam apa jua keadaan, peralihan seumpama itu memerlukan kelulusan presiden.
Ia turut mencetuskan kritikan pegawai kanan Palestin, Saeb Erekat yang menggelar ia sebagai pelanggaran hak asasi penduduk Palestin, undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.
"Langkah seumpama itu hanya akan menghapuskan penyelesaian dua negara," tegasnya yang menggesa Kesatuan Eropah (EU) bertindak selain perkara tersebut akan dibangkitkan kepada Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). - AFP