KOTA BHARU - Kenaikan harga ikan segar sekitar RM2 hingga RM10 sekilogram di Pasar Besar Siti Khadijah di sini menimbulkan sedikit 'keresahan' dalam kalangan pengguna di negeri ini.
Rata-rata peniaga yang ditemui mendedahkan kenaikan harga bahan mentah itu disebabkan bekalan stok berkurangan selain sambutan Aidilfitri.
Peniaga ikan, Mohd Safuan Syuhardi berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana bahan mentah yang dijual itu adalah segar dan bukannya sejuk beku.
"Sebagai contoh ikan tenggiri, semasa Ramadan kami boleh jual dengan harga sekitar RM35 hingga RM38 sekilogram.
"Tetapi sekarang harga mencecah sehingga RM45 sekilogram. Jadi tidak mustahil jika seekor ikan tenggiri yang bersaiz besar boleh mencecah sehingga lebih RM100," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, selain tenggiri, kan-ikan lain turut mengalami kenaikan harga seperti ikan selayang yang sebelum ini RM8 tetapi kini dijual RM10-RM12 sekilogram.
Katanya, ikan tongkol hitam daripada RM12 naik kepada RM14, manakala tongkol putih yang sebelum ini dijual pada harga RM8 sekarang mencecah RM12 sekilogram.
Dia berkata, permintaan tinggi dan bahan mentah terhad menyebabkan peniaga tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga mengikut situasi semasa.
Sementara itu pengguna, Abdullah Yaakob, 62, berkata, kenaikan harga yang berlaku sepanjang Aidilfitri ini terpaksa diterima dengan hati yang reda.
"Kalau diikutkan memanglah rasa hendak marah tetapi jika dibandingkan dengan ayam yang lagi mahal hingga mencecah RM30 seekor, saya rasa ikan adalah pilihan terbaik.
"Sebagai pembeli, saya kena bijak berbelanja dalam situasi sekarang," katanya.