Kedai pajak gadai dirompak, pemilik rugi lebih RM1 juta

Iklan
Tangkap layar yang tular di media sosial berhubung kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai pajak gadai yang terletak di Seksyen 1 Jalan Besar, Pasir Mas.

PASIR MAS - Seorang pemilik kedai pajak gadai dan lima pekerjanya berdepan detik cemas apabila premis berkenaan yang terletak di Seksyen 1 Jalan Besar, di sini dirompak tiga lelaki bersenjata pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.45 petang.

Iklan
Iklan

"Semasa mangsa berada di premis miliknya, tiga lelaki yang memakai topeng telah masuk ke dalam kedai berkenaan.

"Dua daripada suspek menggunakan senjata menyerupai pistol dan seorang lagi membawa pisau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, mangsa bersama lima pekerja diikat dan dipaksa berada di bawah meja oleh kesemua suspek tersebut.

Beliau berkata, selepas itu mangsa dipaksa membuka laci peti besi yang mengandungi wang tunai dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Iklan

Muhamad Zaki berkata, kesemua wang tunai dan pelbagai jenis barangan kemas yang berada di dalam beg diserahkan kepada suspek.

"Suspek juga mengambil kunci kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza milik mangsa sebelum melarikan diri.

Bertindak atas laporan dan maklumat, polis mengadakan Op Tutup serta sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri.

"Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di kawasan sempadan diarahkan untuk memperketatkan kawalan bagi mengesan suspek dan kereta dilarikan," katanya.

Menurutnya, sekitar jam 12.30 tengah malam Jumaat sepasukan anggota Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa yang membuat rondaan di Kuala Jambu, Pengkalan Kubor, Tumpat menemui sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati MPV tersebut mempunyai kaitan dengan kes rompakan di Pasir Mas.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih lagi diteruskan dan Polis Kelantan telah memanggil mangsa serta beberapa orang saksi kejadian.

"Pihak polis juga menggesa dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.