Tiada negeri langkaui CTT, keluar lesen baharu projek ladang hutan

Iklan
Takiyuddin

KOTA BHARU - Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini tiada negeri dilaporkan melangkaui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan kerajaan dan mengeluarkan lesen baharu bagi projek ladang hutan.

Beliau berkata, perkara itu dicapai berikutan tindakan proaktif kerajaan yang sentiasa memberi tumpuan untuk melindungi khazanah alam negara.

Iklan
Iklan

"Walaupun hutan ini berada di bawah kerajaan negeri namun dari segi pentadbiran dan pengurusan, adalah di bawah Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di peringkat persekutuan yang mengawal setiap lesen pengeluaran.

"Kita tidak dapat menafikan ada juga pencerobohan haram kepada hutan berlaku namun pemantauan serta penguatkuasaan sering dilakukan untuk mengambil tindakan kepada pembalak haram ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menziarahi bekas jurulatih Kelantan FA yang juga legenda penyerang prolifik negara era 90-an, Hashim Mustapha di kediamannya dekat Kampung Guchil Bayam, di sini pada Jumaat.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tiada lagi ladang hutan baharu yang dikesan diberikan lesen oleh mana-mana negeri susulan pelaksanaan Moratarium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun baru-baru ini.

"Kerajaan negeri mungkin membenarkan satu syarikat untuk membuat penanaman semula ladang hutan dan ia boleh tebang satu kawasan dan tebangan ini dipanggil 'cuci mangkuk', kemudian syarikat itu kena tanam.

Iklan

"Jadi sekarang ini saya boleh mengesahkan bahawa tidak ada lagi ladang hutan baharu yang dikeluarkan lesen, bila tidak ada lesen baharu ia bermakna tidak ada lagi penerokaan hutan," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, sebanyak 27 juta pokok pelbagai spesies telah ditanam di seluruh negara pada tahun lepas menerusi Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.- Bernama