Piala Thomas: ' The Nights' dari Avicii lagu semangat beregu lelaki

Iklan
Pusingan Akhir Piala Thomas 2022 berlangsung di Bangkok Thailand, pada 8-15 Mei ini. Gambar hiasan

HE said, one day you’ll live the world behind, so live a life you will remember,” ("Katanya, suatu hari kamu akan meninggalkan dunia ini, maka jalanilah kehidupan yang akan kamu kenangkan,”)

Demikianlah antara bait lirik dalam lagu"The Nights” daripada pemuzik dan DJ dari Sweden, Avicii yang menaikkan semangat skuad beregu lelaki menjelang Pusingan Akhir Piala Thomas 2022 di Bangkok Thailand, pada 8-15 Mei ini.

Iklan
Iklan

Pemain beregu nombor satu kebangsaan Soh Wooi Yik berkata, mereka mahu berseronok sebelum berhempas-pulas mengerah keringat di gelanggang dengan mendengar lagu tersebut pada setiap malam di Bangkok.

"The Nights adalah lagu motivasi untuk kami (pasukan beregu lelaki), kami selalu mendengarnya dan menyanyi bersama,” katanya kepada pemberita pada hari pertama sesi latihan di Impact Arena di sini.

Iklan

Beliau yang mewakili Malaysia sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada edisi 2018 dan 2020, Wooi Yik, yang bergandingan dengan Aaron Chia, berharap agar kali ketiga di Bangkok ini akan menghadirkan tuah kepadanya untuk membantu pasukan kebangsaan menjulang piala yang diidam-idamkan itu selepas 30 tahun pada 15 Mei ini.

Pemain berusia 24 tahun itu juga berharap bapa saudaranya, Soo Beng Kiang yang berpasangan dengan Cheah Soon Kit dan memberi mata kemenangan ke atas Indonesia, 3-2, ketika kali terakhir Malaysia memenangi kejohanan itu pada 1992, akan memberinya sedikit nasihat atau panduan.

Iklan

"Kami jarang berkomunikasi kerana beliau sangat sibuk. Kali terakhir beliau memberi saya nasihat adalah ketika Sukan Olimpik di Tokyo,” katanya.

Walaupun kecewa terpaksa pulang dengan tangan kosong setelah tewas pada Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan dari Indonesia pada final Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila Ahad lepas, Wooi Yik berharap keputusan itu akan memberi inspirasi kepadanya untuk bermain lebih baik semasa Piala Thomas ini.

Aaron-Wooi Yik tewas 21-23, 10-21 kepada Pramudya-Yeremia selepas aksi sengit yang berlangsung selama 52 minit.

Justeru, ujar Wooi Yik, beliau perlu meningkatkan kekuatan mentalnya dalam menghadapi tekanan dan mengawal emosinya ketika bermain di gelanggang.

"Kami perlu berbincang lagi dengan jurulatih kami tentang bagaimana kami boleh mempamerkan aksi mantap di Bangkok,” katanya.

Selain Aaron yang juga kapten pasukan dan Wooi Yik, kem beregu kebangsaan turut dibarisi juara Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, diikuti pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2021 Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Chia Weijie.

Malaysia diundi bersama juara 2014 dan pilihan kedua kejohanan Jepun, selain England dan Amerika Syarikat dalam pertandingan Kumpulan D Piala Thomas 2022. - Bernama