IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia membantu siasatan termasuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu gerakan menjatuhkannya seperti didedahkan pembangkang.
Beliau berkata, tiada masalah untuknya memberikan kerjasama bagi memastikan siasatan menyeluruh dilakukan.
Iklan
Iklan
"Jika SPRM nak panggil, saya tidak ada masalah, cumanya saya tidak tahu apa cerita sebenar, saya hanya boleh beri keterangan tentang maklumat yang saya peroleh dan diberitahu kepada saya sahaja,” katanya.
Semalam, Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak melalui undi tidak percaya di Sidang Dun Perak.
Beliau dipanggil selepas Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad pada sesi penggulungan Bajet Perak mendedahkan bahawa Abdul Aziz adalah individu yang berjumpa lima wakil rakyat BN bagi tujuan berkenaan.
Menurut Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak, pihaknya mengalu-alukan siasatan dijalankan SPRM itu meskipun belum berkesempatan bertemu dengan wakil rakyat DAP berkenaan.
"Hubungan kami adalah baik. Seperti semalam, selepas selesai Sidang Dewan, kita bertemu semua wakil rakyat dan ambil 'group photo' bersama, semuanya berlangsung dalam suasana baik,” katanya.