PETALING JAYA –"Jika dahulu bila menjelang Aidilfitri, ayah akan bawa kami keluarga pergi beli kelengkapan raya, tapi sekarang tidak lagi,” kata Norman Nur Alif Sahiful Rizal, 21.
Anak kedua daripada lima beradik itu sama sekali tidak menyangka ayahnya, Sahiful Rizal Amri, 45, yang dahulu menjadi tonggak keluarga kini terlantar akibat penyakit strok.
"Saya masih ingat lagi pada satu pagi setahun yang lalu, tiba-tiba ayah menjerit meminta tolong selepas terjatuh dari katil.
"Saya berlari masuk ke dalam bilik dan melihat ayah sudah dalam keadaan tertiarap di tepi katilnya,” katanya sewaktu menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong baru-baru ini.
Norman berkata, sebelum ini ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak pernah sakit teruk.
"Kalau demam dan sakit-sakit badan itu biasalah, tapi ayah tak pernah ada penyakit yang kronik,” katanya.
Tambahnya, dia sekeluarga sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan sewaktu doktor memberitahu ayah terkena strok.
"Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit strok menambahkan lagi kebimbangan bahawa peluang ayah untuk sembuh amat tipis.
"Sekarang ini kami sekeluarga membantu mengurus termasuk menjaga makan dan minum ayah.
"Ibu (Ruziana Ariffin, 39) bekerja sebagai operator kilang, selain abang Ikhmal (sulung) juga bekerja, jadi kami sama-sama membantu menguruskan keperluan keluarga dan ayah,” katanya yang mempunyai tiga adik yang masih bersekolah.
Sementara itu, Elizebeth Wong berkata, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan dalam mendapatkan segala keperluan yang diperlukan.
"Kita akan minta komuniti setempat bantu daftarkan keluarga ini untuk mendapat bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.