BIARPUN bersimpati dengan Norwich City yang sah tersingkir ke saingan Liga Kejuaraan musim depan, namun pengendali West Ham United, David Moyes tetap berazam untuk meraih tiga mata apabila berdepan skuad The Canaries itu di Carrow Road pada Ahad.
Menurut Moyes, pada penghujung saingan ketika ini skuad kendaliannya itu sangat memerlukan mata bagi menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima pasukan teratas EPL.
"Saya memahami situasi yang dihadapi Norwich ketika ini, tetapi dalam masa yang sama, kami juga memerlukan kemenangan.
"Lagi pun, kemenangan adalah perkara yang paling utama dalam mana-mana perlawanan bola sepak; walaupun adakalanya terpaksa ‘melukai’ pasukan lain.
"Oleh itu, diharapkan kesemua pemain The Hammers dapat memberikan aksi terbaik bagi menjamin kemenangan yang dicita-citakan,” katanya.
Untuk rekod, West Ham kini berada pada kedudukan ketujuh EPL dengan 52 mata dan masih memiliki baki tiga perlawanan untuk diharungi musim ini.
Malah, skuad The Hammers yang gagal mara ke final Liga Europa musim ini setelah tewas secara agregat kepada Eintracht Frankfurt, pastinya mahu menebus kekecewaan berkenaan dengan mencatatkan kemenangan pada aksi berdepan Norwich City.
Sementara itu, Moyes mengakui mahu kembali bersaing di pentas Liga Europa musim depan bagi menebus kekecewaan gagal mara ke final musim ini.
Justeru katanya, dia perlu memastikan West Ham mencatatkan kemenangan pada baki tiga perlawanan musim ini bagi merebut slot ke saingan Liga Europa musim depan.
"Rasanya semua pihak juga menyedari mengenai kami yang mahu meraih mata pada tiga aksi terakhir musim ini bagi merebut slot berkenaan.
"Ya, ia memang sukar, tetapi kami tetap yakin mampu melakukannya dan beraksi di pentas Eropah sekali lagi,” katanya.