ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kesal kerana terdapat individu beragama Islam terlibat dalam gejala rasuah sedangkan agama melarang perbuatan itu.
Menurut beliau, masyarakat sering menekankan tuntutan agama untuk melakukan amalan wajib dan menjauhkan diri daripada perkara dilarang, namun kita tidak mengambil berat betapa besarnya dosa akibat amalan rasuah dan salah guna kuasa demi kepentingan diri.
Dr Mahathir berkata, kita harus melihat semula kesedaran kita mengenai rasuah dan salah guna kuasa kerana perbuatan itu jijik dan dibenci Islam, termasuk bertentangan dengan nilai-nilai sejagat.
"Seolah-olah bagi kita, integriti itu bukan tuntutan Islam sehingga kita tidak malu apabila melakukannya dan jika kita didapati melakukannya, tidak dipandang hina. Tanpa kesedaran, kita akan terus melakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya, ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Dr Mahathir turut mengingatkan penjawat awam agar mengikis sikap mentaliti materialistik, suka kepada jalan mudah dan ingin cepat kaya, kerana ia boleh menjurus kepada amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Setiap individu hendaklah membina halatuju negara yang berintegriti dan sebagai pemegang amanah kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, ini bertepatan dengan Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan Januari lalu, bagi memerangi rasuah, selain peringatan atau amaran kepada semua pemimpin bahawa Malaysia dan rakyatnya menolak rasuah kerana ia amalan keji dan menjijikkan.
"Sikap negatif itu haruslah dikikis kalangan penjawat awam di Malaysia. Kerajaan ambil serius isu-isu berkaitan rasuah kerana Pelan Antirasuah Nasional merupakan dasar antirasuah yang akan membentuk budaya dan sistem berteraskan governans dan integriti,” katanya.
Dr Mahathir berkata, pelan ini menilai risiko rasuah di peringkat akar umbi menerusi enam bidang utama yang cenderung kepada rasuah, iaitu perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, tadbir urus politik, tadbir urus korporat, pentadbiran sektor awam serta perundangan dan kehakiman.
"Kita menekankan enam strategi, iaitu pertingkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam perolehan kerajaan, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, perkukuhkan akauntabiliti dan integriti politik, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat, perkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman,” katanya.
Menurutnya, ia menjadi tanggung jawab semua pihak daripada Perdana Menteri sehingga kepada penjawat awam keseluruhannya.
"Inisiatif ini tidak boleh dilaksanakan saya seorang diri, atau Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Institut Integriti Malaysia (IIM) sahaja. Semua pihak perlu mainkan peranan,” katanya.
Menurutnya, perkara utama mengatasi penyakit rasuah adalah kesedaran tentang bahayanya terhadap keutuhan dan kemajuan sesuatu bangsa.
"Sejarah menunjukkan empayar Islam yang agung jatuh dan musnah. Ia tidak bermula dengan perbuatan musuh Islam sebaliknya, bermula dengan salah guna kuasa dan rasuah. Apabila ia berleluasa, kekuatan empayar berkurangan hingga musuh Islam berjaya menakluk mereka,” katanya.