SEREMBAN - Polis menahan 10 lelaki awal pagi Sabtu selepas dipercayai terlibat dalam sebuah video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu telah melakukan gaduh gempar seperti ‘Malaysia versi Brazil’ menggunakan bunga api sesama sendiri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 42 tahun itu ditahan pada jam 4.40 pagi di sekitar Seremban.
Iklan
Iklan
"Pada Jumaat jam lebih kurang 9.00 pagi, telah tular satu rakaman video berdurasi 29 saat di laman media sosial Facebook yang memaparkan satu kejadian sekumpulan lelaki telah melakukan gaduh gempar menggunakan bunga api sesama sendiri di Jalan BPS 3, Taman Bandar Prima Senawang.
"Kejadian yang dikatakan Malaysia versi Brazil. Siasatan awal mendapati kejadian tular tersebut berlaku pada tarikh 2 Mei lepas anggaran waktu sekitar tengah malam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kesemua suspek telah ditahan dan direman sehingga Isnin ini untuk tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
"Selain itu turut dirampas adalah sejumlah besar bunga api dan mercun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.