3 hari hilang di hutan, warga emas ditemui lemah

Iklan
Wanita warga emas hilang sejak Rabu lalu di hutan Kampung Malangkap Kapa, ditemui dalam keadaan lemah dan cedera di kepala.
KOTA BELUD - Wanita warga emas yang hilang sejak Rabu lalu ditemukan dalam keadaan lemah dan cedera di kepala oleh pasukan bomba dan penduduk kampung di kawasan hutan Kampung Malangkap Kapa di sini pada pagi Sabtu.

Mangsa, Gorin Galais, 74, ditemui pada jam 10.43 pagi di lokasi sejauh kira-kira 1.36 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa hilang sejak tiga hari lalu namun laporan hanya diterima pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 38 kilometer dari BBP Kota Belud.

"Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan sebaik laporan diterima di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Iklan

"Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguh pada jam 5.30 petang semalam sebelum disambung semula hari ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, SAR yang memasuki hari kedua disambung pada jam 7.30 pagi Sabtu oleh pasukan bomba dan agensi keselamatan lain serta penduduk kampung berkenaan.

Iklan

"Mangsa kemudian ditemui oleh pasukan bomba bersama penduduk kampung pada pagi tadi dalam keadaan lemah serta mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.