PKR belum bincang khemah besar: Saifuddin

Iklan
Tiga dari kiri: Amirudin dan Saifuddin selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gagasan #KitaSemuaKeadilan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum menerima sebarang ajakan daripada parti-parti pembangkang untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, malah Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik Parti juga tidak pernah membincangkan sebarang pendekatan khemah besar dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Iklan
Iklan

"Perkara 'khemah besar' tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik.

"Sehingga perkara itu (pelawaan untuk bekerjasama daripada parti-parti pembangkang) berlaku baru PKR akan menentukan sikap dan pendirian kami, buat masa ini itu belum berlaku," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gagasan #KitaSemuaKeadilan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada Sabtu.

Iklan

Tiga dari kiri: Amirudin dan Saifuddin selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gagasan #KitaSemuaKeadilan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai inisiatif parti tersebut untuk membuat 'khemah besar' menjelang PRU15.

Iklan

Sementara itu, Saifuddin menegaskan keyakinannya untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun terpaksa bersaing dengan calon lain iaitu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pertandingan itu tidak sepatutnya mengguris persahabatan mereka sebagai ahli dalam parti yang sama.

"Saya bermula untuk tawarkan diri (bertanding) dengan keyakinan. Bukan sekadar yakin tapi haqqul yaqin (keyakinan yang lebih tinggi).

"Tapi saya dah tegaskan ini adalah pertarungan keluarga, yang mana kita tidak boleh carik persahabatan atau meruntuhkan persahabatan.

"Saya lukiskan garisan (had) tersebut, maknanya saya tetap meraikan dan mengiktiraf Rafizi sebagai sahabat yang mempunyai banyak kualiti. Saya yakin pemilihan ini tidak akan mengulangi episod lepas," katanya.

Majlis Pelancaran Gagasan #KitaSemuaKeadilan menyaksikan calon yang menyertai pemilihan PKR mengutarakan gagasan dan landasan sebagai persediaan bagi pemilihan berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, platform tersebut turut memberi peluang kepada dirinya dan rakan-rakan lain mengetengahkan pelbagai tawaran kepada anggota parti dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung pada 14 Mei ini.

"Secara asasnya, saya harapkan pertembungan ini akan menjadi titik penyatuan dan memilih pimpinan yang akan merangka pasukan kemenangan," katanya yang turut bertanding sebagai calon Naib Presiden PKR.