SKUAD Sri Pahang FC meraih tiga mata berharga apabila menewaskan KL City FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Skuad Tok Gajah itu membuka jaringan menerusi Nor Azam Azih pada minit ke-32 sebelum lapten KL City FC, Paulo Josue bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan dengan menjaringkan gol pada minit ke-86.
Bagaimanapun, penyerang import skuad Hogoh Pahang Hogoh, Manuel Federico Hidalgo Gasparini menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua yang juga gol kemenangan pelawat pada minit ke-88.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Hogoh Pahang Hogoh itu melonjak ke tangga kesembilan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, seri sekali dan tewas sekali daripada enam perlawanan setakat ini.
Pada aksi Liga Premier, Johor Darul Ta’zim II (JDT II), mencatatkan kemenangan besar apabila menewaskan PDRM FC 5-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gundang, malam tadi.
Kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju bilik persalinan.
Bagaimanapun, pada separuh masa kedua JDT II mula membuka jaringan menerusi Bienvenido Morejon Maranon pada minit ke-47 dan min-89, Syameer Kutty Abba (min-55), Fernando Rodriguez (min-67) dan pemain gantian, Gabriel Nistelrooy Tamin (min-69).
Bagaimanapun jentera serangan PDRM FC tetap berjaya membolosi pintu gol JDT II menerusi jaringan Martin Adamec pada minit ke-72.
Sementara itu, pada satu lagi saingan Liga Premier menyaksikan UiTM FC gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kuching City FC di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain Kuching City FC, Wan Faiz Sulaiman pada minit ke-24.