PUTRAJAYA - Isu berkaitan hal ehwal ekonomi dan politik serantau serta antarabangsa dijangka menjadi topik utama dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Mei ini di Washington DC.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia akan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan akan turut disertai lapan lagi ketua kerajaan negara-negara ASEAN.
Menurutnya, kemuncak pertemuan adalah pada 13 Mei, jam 3 petang apabila Presiden Joe Biden akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan ketua-ketua kerajaan ASEAN.
"Topik utama dalam pertemuan pada 13 Mei ini adalah berkaitan hal ehwal ekonomi dan politik serantau serta antarabangsa. Selain itu, akan ada beberapa lagi pertemuan lain.
"Malaysia menganggap pertemuan ini penting kerana Amerika Syarikat adalah salah sebuah negara dialog dengan ASEAN.
"Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri dijangka mengutarakan beberapa isu serantau seperti Myanmar dan isu-isu antarabangsa,” katanya dalam Wawancara Khas bersama Sinar Harian, Bernama, The Star dan Sin Chew Daily yang diadakan di Wisma Putra pada Sabtu.
Difahamkan, Myanmar tidak diundang ke sidang kemuncak khas itu manakala Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak dapat hadir kerana dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya di negara itu.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS itu pada asalnya dijadualkan pada 28 dan 29 Mac lepas tetapi ditangguhkan kerana beberapa pemimpin ASEAN tidak dapat menghadirinya.
Para pemimpin ASEAN dijangka mengulangi komitmen bersama dalam menegakkan pemusatan dan perpaduan ASEAN melalui mekanisme yang diterajui ASEAN sedia ada, serta memupuk kepercayaan dan keyakinan bersama untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 dianggotai oleh Malaysia, Brunei, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala Kemboja adalah Pengerusi ASEAN untuk 2022.