PUTRAJAYA - Selepas dua tahun tidak dapat diadakan dek pandemik Covid-19, Seri Perdana hari ini (Ahad) kembali dibuka kepada ribuan jemputan dan pengunjung pelbagai latar belakang untuk meraikan Aidilfitri pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022.
Majlis itu adalah majlis rumah terbuka pertama dihoskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021 dan barisan Kabinet beliau.
Kali terakhir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.
Jika kebiasaannya majlis rumah terbuka perdana menteri dan anggota jemaah menteri diadakan pada 1 Syawal, tahun ini ia diadakan pada 7 Syawal yang jatuh pada 8 Mei selaras dengan keprihatinan Ismail Sabri sendiri yang mahu rakyat memanfaatkan peluang pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara sebelum meraikan mereka pada majlis rumah terbuka di Seri Perdana.
Dengan tema ‘Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri’, Ismail Sabri dan anggota jemaah menterinya akan menyantuni dan meraikan para pengunjung yang dianggarkan lebih 70,000 orang dengan latar belakang konsep suasana kampung selain dihidangkan juadah tradisi ala desa.
Majlis dijadualkan berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang dan pelancong asing yang berada di negara ini setelah sempadan negara dibuka semula pada 1 April lepas turut dialu-alukan kehadiran mereka.
Bagi kemudahan pengunjung menghadiri majlis rumah terbuka tersebut, perkhidmatan bas percuma disediakan di tiga lokasi iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra untuk ke Seri Perdana.
Orang ramai boleh meninggalkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut untuk menaiki perkhidmatan bas yang disediakan Perbadanan Putrajaya yang akan menggerakkan 16 unit bas bermula 9 pagi hingga 7 malam dengan kekerapan setiap 15 minit.
Terdapat dua khemah di Laman Sari iaitu tapak majlis rumah terbuka itu berlangsung, satu merupakan khemah utama yang boleh memuatkan hampir 3,000 pengunjung pada satu-satu masa, dan sebuah lagi khemah besar boleh memuatkan 2,000 orang.
Pengunjung berpeluang merasai lebih 40 hidangan tradisional yang disediakan berkonsepkan layan diri serta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh artis Istana Budaya.
Sebanyak 20 khemah turut disediakan di luar Kompleks Seri Perdana bagi pengunjung yang berbaris dan menunggu giliran untuk masuk ke majlis serta kemudahan ‘buggy’ untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas turut disediakan.
Sebagai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, pengunjung digalakkan memakai pelitup muka dalam kawasan tertutup dan melakukan penjarakan fizikal jika tidak memakai pelitup muka.Seramai 200 petugas akan terlibat bagi memastikan kelancaran majlis dan pematuhan SOP antaranya daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). - Bernama