Peminat tetap mahu pingat emas

Iklan
Pemain Harimau Muda yang menggalas cabaran negara di Hanoi 2021. Foto: FB FAM. Gambar kecil: Azlan Johar

BIARPUN tiada sasaran khusus ditetapkan terhadap Harimau Muda di Sukan SEA Hanoi 2021, namun peminat bola sepak negara pastinya menetapkan pingat emas dibawa pulang anak buah Brad Maloney dari Vietnam kali ini.

Perkara itu dinyatakan pemerhati bola sepak tanah air, Azlan Johar yang percaya peminat tempatan mahu meraikan kejayaan skuad Bawah 23 Tahun (B23) negara pada temasya tersebut dengan merampas semula ibu segala pingat emas berkenaan.

Iklan
Iklan

Malah katanya, peminat tempatan sudah pasti mahu menyaksikan skuad B-23 negara beraksi di pentas final seterusnya muncul juara setelah kali terakhir melakukannya di edisi Laos 2009.

"Siapa cakap bola sepak tak ada sasaran? Kalau pihak kementerian tak ada letakkan sasaran, tetapi saya yakin rakyat sudah pasti meletakkan sasaran mereka sendiri terhadap skuad bola sepak negara pada Sukan SEA Hanoi 2021 kali ini.

Iklan

"Saya juga cukup yakin bahawa rakyat negara ini meletakkan sasaran untuk skuad B-23 untuk memenangi pingat emas.

"Pada saya mahu tidak mahu Maloney perlu melakukan sesuatu supaya skuad B-23 negara mara ke pentas final seterusnya memenangi pingat emas,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Iklan

Untuk rekod, Maloney sebelum ini dilaporkan tidak meletakkan sasaran tinggi untuk skuadnya pada temasya terbesar sukan Asia Tenggara edisi 2021 tersebut.

Bagaimanapun menurut Maloney, beliau tetap optimis para pemainnya mampu mencipta keputusan positif sekali gus memberikan tentangan sengit ketika beraksi kali ini.

Mengulas mengenai alasan skuad B-23 tidak mempunyai para pemain mencukupi dalam memberi saingan, Azlan berkata, alasan sedemikian tidak relevan dalam menggambarkan tahap persiapan skuad negara bagi mengharungi temasya tersebut.

Malah jelasnya, beberapa pasukan lain yang mengambil bahagian turut mengalami masalah sama, namun masih berupaya mengumpulkan barisan pemain terbaik untuk Sukan SEA kali ini.

"Alasan tidak cukup pemain ini merupakan alasan lapuk. Mana-mana pertandingan pun memang tidak akan ada pasukan yang memiliki pemain yang cukup termasuklah pasukan seperti Brazil yang ada kalanya mengalami kepincangan dalam pasukan.

"Kita boleh tengok pasukan negara lain seperti Portugal contohnya, mereka hanya ada enam pemain sahaja bertaraf antarabangsa, sebaliknya yang lain pemain biasa, apakah maknanya tidak cukup pemain?

"Di Hanoi 2021, kalau ditanya pasukan lain pastinya juga mengalami masalah tidak cukup pemain, namun jurulatih perlu proaktif memastikan pemain sedia ada sentiasa mencukupi untuk beraksi sebagai satu pasukan dengan memanfaatkan pengalaman dan kemahiran dimiliki pemain,” katanya.